Pemilik restoran warga Malaysia maut dihentak tukul di New York

Luqman Hariz
Januari 19, 2019 14:43 MYT
Suspek dikatakan mensasarkan lelaki berbangsa Cina selepas menonton filem yang menunjukkan mereka memberi layanan buruk kepada wanita. -Foto Reuters
Dua individu maut, manakala seorang berada dalam keadaan kritikal selepas diserang menggunakan tukul di sebuah restoran di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat.
Antara yang maut termasuk chef restoran tersebut, Fufai Pun serta warga Malaysia yang merupakan pemilik restoran, Ng Thang Kheong.
Thang Kheong, 60, yang berasal dari Johor, sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di
NYU Langone Medical Centre.
Sementara itu, pengurus restoran Tsz Mat Pun, 50, masih berada dalam keadaan kritikal.
Serangan yang berlaku kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan pada 15 Januari itu berlaku di restoran Seaport Buffet di Emmons Avenue, Sheepshead Bay ketika premis itu dipenuhi pelanggan.
Pekerja pembinaan warga Estonia, Arthur Martunovich dilaporkan meluru masuk ke restoran tersebut dan mula memukul pekerja di kepala menggunakan tukul.
Saluran NBC New York yang memetik sumber pihak penguat kuasa melaporkan Martunovich, 34, mensasarkan lelaki berbangsa Cina selepas dipengaruhi filem China yang menunjukkan lelaki warga itu melayan wanita secara kasar.
Saluran Abc7NY melaporkan Martunovich sebelum ini pernah disiasat berkaitan kes serangan pada 2016, tetapi tidak pernah didakwa.
Beliau juga pernah dilaporkan menjadi mangsa serangan pada 2004 dan 2016.
Saluran yang sama melaporkan Martunovich membuat beberapa kenyataan sewaktu ditahan yang menampakkan seperti dia kurang siuman, walaupun tiada sebarang pengesahan rasmi berkenaan keadaan mentalnya setakat ini.
Jurucakap bagi peguam daerah Brooklyn tidak memberi pengesahan mengenai sebarang dakwaan yang dihadapi Martunovich selepas diberkas.
Berikut video laporan ketika kejadian pada 16 Januari lalu.
#Brooklyn #New York #Ng Thang Kheong #Seaport Buffet #serangan New York #Tetak #tukul
;