Pemilik restoran di Thailand kecewa larangan makan di kedai dikuatkuasakan semula
Agensi
Jun 29, 2021 13:45 MYT
Jun 29, 2021 13:45 MYT
Pemilik kedai makan di Bangkok dan wilayah berdekatan kecewa setelah larangan menjamu selera di premis dikuatkuasakan semula pada Isnin, setelah pemerintah sebelum ini melonggarkan langkah kawalan COVID-19.
Larangan itu diumumkan pada Sabtu malam selepas jumlah kes harian Thailand meningkat di atas 2,000 selama beberapa minggu.
Ia dikuatkuasakan bersama dengan sekatan lain termasuk perjalanan antara kawasan, tapak pembinaan dan perhimpunan pelbagai bahagian negara selain akan dikuatkuasakan sekurang-kurangnya 30 hari.
Ini menjadi tamparan hebat kepada banyak pemilik restoran termasuk beberapa antaranya yang baru pulih dari kesan larangan makan di premis sebelum ini.
Seorang pemilik restoran, Mika Apichatsakol menyatakan rasa sedih dengan pengumuman itu.
Jelasnya, sejak 1 Mei lepas, dia hanya bergantung harap kepada perkhidmatan penghantaran semata-mata.
Katanya lagi, perancangan untuk membuka semula kedai sudah dibuat pada 1 Julai namun tidak tercapai akibat arahan terbaru berkenaan.
Thailand menghadapi gelombang ketiga jangkitan COVID-19, yang bermula pada bulan April ketika kluster baharu ditemui di kelab malam di Bangkok.
Lebih daripada 220,000 orang disahkan positif dan sekurang-kurangnya 1,840 pesakit telah mati akibat pandemik berkenaan.
Pemerintah telah mengenakan sekatan ke restoran dan pelbagai perniagaan namun keadaan semakin buruk bulan lalu apabila virus itu menjangkiti tahanan di penjara dan pusat tahanan yang penuh sesak di seluruh negara.
Pada minggu lalu, beberapa langkah kawalan dilonggarkan selain gerai makanan dan minuman dibenarkan dibuka sehingga jam 11 malam.
Menurut Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, pemantauan mendapati lebih dari 100 kluster dikesan di Bangkok.
Keadaan itu mendorong Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha untuk mengenakan sekatan tertentu di kawasan dengan jangkitan COVID-19 yang tinggi seperti Bangkok dan wilayah-wilayahnya yang berdekatan.