Pemilik kelab Leicester City dan anak ada dalam helikopter terhempas?
Agensi
Oktober 28, 2018 18:30 MYT
Oktober 28, 2018 18:30 MYT
Pemilik kelab bola sepak England, Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha dan seorang anak perempuannya antara lima orang yang dipercayai berada di dalam helikopter yang terhempas di luar King Power Stadium di England pada Sabtu.
Menurut sumber rapat dengan kelab itu, tiga individu lain merupakan dua juruterbang dan seorang lagi yang belum dikenal pasti identitinya..
Namun sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi mengenai nasib kesemua mangsa.
Helikopter itu terhempas dan meletup di kawasan parkir kereta di stadium itu selepas perlawanan Liga Perdana antara Leicester dan West Ham berakhir.
Menurut saksi, helikopter itu baru sahaja berlepas dari atas bangunan stadium tersebut sebelum ia tiba-tiba berpusing di luar kawalan dan terhempas.
Insiden berlaku kira-kira satu jam selepas perlawanan berakhir, pada pukul 8.30 malam waktu tempatan.
Di Thailand, pihak berkuasa belum lagi mengesahkan status atau situasi Vichai, yang merupakan pengasas syarikat King Power Duty Free.
Menurut majalah Forbes, Vichai adalah individu kelima terkaya di Thailand dengan nilai AS$4.9 bilion.