Pemilik kapal kargo tersangkut di Terusan Suez mohon maaf

Astro Awani
Mac 26, 2021 10:32 MYT
Keadaan kapal kargo Ever Given yang tersangkut di Terusan Suez dan menghalang laluan kapal dagang lain daripada memasukinya. -Reuters
KAHERAH: Pemilik kapal kargo yang menghalang laluan di Terusan Suez, Mesir sejak Selasa memohon maaf atas gangguan dicetuskannya terhadap perdagangan global.
Shoei Kisen Kaisha, warga Jepun, berkata dia sedang berusaha untuk menyelesaikan keadaan itu secepat mungkin, namun usaha mengalihkan kapal Ever Given itu bukannya mudah, lapor BBC.
BACA: Perdagangan dunia terjejas kerana sebuah kapal
"Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Bernhard Schulte Shipmanagement, sebuah syarikat pengurusan kapal.
"Kami sedang berusaha mengapungkannya semula, tetapi kami menghadapi kesulitan yang sangat besar," kata Shoei Kisen Kaisha, dalam satu kenyataan pada Khamis.
"Kami dengan tulus hati meminta maaf kerana menimbulkan masalah besar kepada kapal-kapal di Terusan Suez dan mereka yang merancang untuk melalui terusan ini," tambahnya.
Jurutera marin dan penyelamat gagal dalam percubaan terakhir mereka pada Khamis.
Kapal sepanjang 400 meter dan seberat 200.000 tan itu tersangkut merentangi terusan ketika angin kencang dan ribut debu.
Evergreen Marine, firma Taiwan yang mengendalikan kapal itu, berkata pakar penyelamat sedang bekerjasama dengan kapten dan pihak berkuasa Terusan Suez untuk merancang kaedah lebih berkesan untuk mengapungkannya.
Hadangan itu menyebabkan barisan menunggu yang panjang di laluan tersebut, dengan lebih 150 kapal sedang menantikan giliran.
Kira-kira 12 peratus perdagangan global dilakukan menerusi terusan ini yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah selain menyediakan hubungan laut terpendek di antara Asia dan Eropah.
Manakala laluan alternatif di sekitar Tanjung Harapan di hujung selatan Afrika, mengambil masa dua minggu lebih lama.
Sumber industri memberitahu agensi berita Reuters bahawa walaupun Ever Given dapat diapungkan dengan cepat, pemiliknya bakal berdepan tuntutan berjumlah berjuta-juta dolar atas kelewatan dan kos tambahan yang dikenakan oleh syarikat lain.
Toshiaki Fujiwara, seorang pegawai di Shoei Kisen Kaisha berkata kepada agensi berita AFP, kapal itu mempunyai polisi insurans, tetapi dia tidak mengetahui perincian atau kos yang berbangkit pada ketika ini.
#kapal kargo tersangkut #Shoei Kisen Kaisha #perdagangan global #Ever Given #evergreen #Laut Merah #laut mediterranean #Bernhard Schulte Shipmanagement
;