Pemilihan Tory: Calon untuk pimpin parti, jadi Perdana Menteri UK kini tinggal lapan orang

Astro Awani
Julai 13, 2022 15:27 MYT
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Boris Johnson, akan diumumkan pada 5 September.
LONDON: Ahli Parlimen Parti Konservatif United Kingdom (UK) kini perlu memilih lapan ahli dari kalangan mereka dalam undian pusingan pertama, untuk memimpin parti tersebut, lapor agensi Sky News.
Menurut laporan tersebut, lapan Ahli Parlimen tersebut yang mahu memimpin parti dan seterusnya menjadi Perdana Menteri UK yang baharu perlu mendapat sekurang-kurangnya 30 undi untuk mara ke pusingan seterusnya.
Undian pusingan pertama, menurut Sky News lagi, akan berlangsung antara pukul 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang waktu tempatan, manakala keputusan akan diumumkan pada pukul 5.30 petang waktu tempatan (8.30 malam waktu Malaysia).
“Calon dengan jumlah undian terendah akan terkeluar dari perlumbaan tersebut dan pemilihan seterusnya akan berlaku dalam tempoh seterusnya,” menurut laporan itu lagi.
Lapan Ahli Parlimen Tory yang dalam pertandingan ialah Kemi Badenoch, Suella Braverman, Jeremy Hunt, Penny Mordaunt, Rishi Sunak, Liz Truss, Tom Tugendhat dan Nadhim Zahawi.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen Konservatif dilaporkan telah menarik diri iaitu bekas Setiausaha Kesihatan, Sajid David; Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps dan Ahli Penyokong Kelab Kerajaan, Rehman Chishti, serta Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel.
Pusingan undian akan terus berlangsung sehingga tinggal dua calon,dan kedua-dua calon tersebut perlu memenangi majoriti sokongan daripada akar umbi Tory, yang mana 160,000 ahli parti akan memilih siapa yang paling berkelayakan untuk memimpin parti dan negara.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Boris Johnson, akan diumumkan pada 5 September depan.
#Perdana Menteri UK #Parti Konservatif #Pemilihan Tories #United Kingdom
;