Pemerintah tentera Thai perkukuh kuasa, bubar Dewan Senat

Agensi
Mei 24, 2014 22:54 MYT
Pemerintah tentera Thai bubar Dewan Senat
Pemerintah tentera Thai hari ini mengumumkan bahawa mereka telah membubarkan Dewan Senat dan mengambil alih peranan menggubal undang-undang, sekali gusmengukuhkan cengkaman selepas rampasan kuasa yang mencetuskan bantahan di Bangkok dan menerima kutukan antarabangsa.
Rejim berkenaan turut mengesahkan telah menahan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan puluhan pemimpin dari kerajaan yang telah digulingkan dan akan menahan mereka sehingga seminggu.
“Dewan Senat telah dibubarkan. Tanggungjawab bagi mana-mana undang-undang yang memerlukan kelulusan Parlimen atau Dewan Negara akan diambil alih oleh pemimpin (junta)," kata seorang jurucakap tentera dalam satu saluran televisyen.
Demokrasi rapuh Thailand telah berkali-kali gagal dengan 19 rampasan kuasa atau percubaan dilakukan tentera sejak 1932.
Penganalisis berkata perkembangan terbaru ini sebagai petanda pihak junta yang diketuai oleh ketua tentera, Jeneral Prayut Chan-O-Cha akan mengambil alih kuasa untuk satu jangka masa panjang, meskipun sebelum ini berjanji yang peranan Dewan Senat akan dikekalkan.
Tunjuk perasaan sekali lagi dilakukan di Bangkok hari ini untuk hari kedua berturut-turut sebagai bantahan terhadap rampasan kuasa,
Tentera yang dipimpin oleh Prayut merampas kuasa pada hari Khamis setelah pihak anti-kerajaan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran selama beberapa bulan untuk menggulingkan kerajaan pemerintah pimpinan perdana menteri Yingluck Shinawatra.
Kebebasan awam telah dihadkan, sekatan media dikenakan dan banyak peruntukan perlembagaan telah dimansuhkan oleh pihak tentera.
Jurucakap tentera turut berkata bahawa Prayut telah menghantar surat mengenai pengambilalihan kuasa kepada Raja Bhumibol Adulyadej.
Raja Thailand itu katanya telah memperakui surat Prayut itu, namun sehingga kini pihak istana masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai krisis itu.
#Junta #pemerintah tentera #Thailand #Yingluck Shinawatra
;