Pemerintah Indonesia komited jadikan Bali nadi pelancongan negara

Bernama
Disember 9, 2024 05:30 MYT
UNWTO mengiktiraf kawasan pelancongan Bali sebagai antara yang terbaik di dunia bagi tahun ini. - Freepik
TABANAN: Pemerintah Indonesia komited menjadikan Bali sebagai nadi pelancongan negara dengan moto Pelancongan Berkualiti, dalam usaha meningkatkan jumlah kunjungan pelancong ke pulau itu.
Menteri Pelancongan, Widiyanti Putri Wardhana menyatakan perkara itu semasa lawatannya ke Kawasan Pelancongan Jatiluwih (DTW) di Tabanan, Bali, pada Isnin, menurut laporan agensi berita ANTARA.
Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) mengiktiraf kawasan pelancongan berkenaan sebagai antara yang terbaik di dunia bagi tahun ini.
"Saya menghargai anugerah ini dan optimis yang kunjungan pelancong ke Jatiluwih semasa cuti Krismas dan Tahun Baharu akan meningkat," katanya.
Dalam majlis yang sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Ni Luh Puspa berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan tempatan untuk membangunkan infrastruktur bagi menyokong sektor pelancongan di Bali.
"Kami akan membina kawasan tempat letak kereta di Jatiluwih bagi mengurangkan kesesakan semasa cuti seperti Krismas dan Tahun Baharu," ujarnya.
Beliau turut menekankan yang Bali terkenal dengan adat resam dan budayanya, yang perlu terus dilestarikan sebagai warisan tempatan.
"Marilah kita bersama-sama memelihara budaya Bali," kata Puspa.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelancongan Wilayah Bali, Tjok Bagus Pemayun berkata, Bali menjadi pemacu utama pelancongan Indonesia dengan menyumbang 50 peratus daripada jumlah kunjungan pelancong ke negara ini.
"Pejabat kami dan Kementerian Pelancongan komited untuk meningkatkan kualiti pelancongan di Bali," katanya.
Ketua Daerah Tabanan, Komang Gede Sanjaya pula berkata, wilayahnya sering dikunjungi pelancong, termasuk untuk acara antarabangsa seperti lawatan delegasi Forum Air Sedunia, kerana kejayaan mengekalkan kawasan tempatan dan budaya seperti Subak.
"Kami fokus kepada tiga matlamat, iaitu komuniti yang menjaga kebijaksanaan tempatan, pengusaha yang menyokong dan kerajaan yang memberikan bantuan," kata Sanjaya.
Beliau berharap Kementerian Pelancongan akan terus menyokong semua tarikan pelancongan di Tabanan untuk membangunkan potensi mereka secara mampan. - BERNAMA
#Bali #pelancongan #Indonesia #UNWTO
;