Pemeriksaan kesihatan Jokowi, Jusuf Kalla selesai selepas 9 jam

Agensi
Mei 22, 2014 20:43 MYT
Pasangan calon presiden dan naib presiden Indonesia, Joko Widodo dan Jusuf Kalla. --AFP PHOTO / ADEK BERRY
Pasangan calon presiden dan naib presiden Indonesia, Joko Widodo dan Jusuf Kalla hari ini menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai syarat bertanding dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada Julai ini.
Pemeriksaan kesihatan itu dilakukan di Hospital Besar Angkatan Tentera Darat Gatot Subroto di sini, lapor portal berita detik.com.
Pemeriksaan kesihatan yang bermula pukul 8 pagi waktu Malaysia itu dijadual mengambil masa lebih kurang lapan jam dan dijangka selesai pukul 5 petang.
Pasangan Jokowi-Kalla yang dimajukan Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDIP), Parti Nasional Demokrat (NasDem), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) mengadakan pertemuan singkat dengan wartawan sebelum memulakan pemeriksaan kesihatan tersebut.
Pemeriksaan kesihatan itu melibatkan lebih kurang 50 orang doktor dari Ikatan Doktor Indonesia termasuk pakar psikologi. Pemeriksaan ini meliputi ujian fizikal dan psikiatri serta ujian makmal.
Jokowi-Kalla adalah regu calon pertama yang melalui ujian kesihatan itu.
Tinjauan pendapat yang dilakukan oleh banyak pihak menempatkan regu ini sebagai calon pilihan untuk menang pilihan raya pada 9 Julai nanti.
Pencabar mereka yang terdekat dijangka calon Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto yang juga bekas ketua angkatan tentera. Beliau berganding dengan bekas Menteri Penyelaras Ekonomi, Hatta Rajasa daripada Parti Amanat Nasional (PAN).
Akhbar The Jakarta Post sebelum ini melaporkan kos pemeriksaan kesihatan calon presiden dan naib presiden Indonesia ini menelan belanja lebih RM40,000 bagi setiap pasangan calon.
Peraturan pilihan raya presiden Indonesia menetapkan mana-mana calon yang gagal ujian kesihatan ini boleh digantikan dengan calon lain yang akan ditentukan oleh parti politik yang terlibat.
Pemeriksaan kesihatan terhadap Joko Widodo dan pendamping beliau, Jusuf Kalla, telah selesai sekitar pukul 6:45 petang waktu Malaysia. Pemeriksaan kesihatan yang dijangka mengambil masa 7 jam itu telah berlanjutan selama 9 jam 30 minit.
Ketika menemui para media, Jokowi menceritakan pengalamannya sewaktu pemeriksaan kesihatan itu berlangsung.
"Yang diperiksa cuma dua orang, tetapi yang menjalankan pemeriksaan sampai 180 orang," gurau Jokowi seperti yang dipetik di laporan Kompas.com.
Pencabar gandingan Jokowi-Kalla, Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa akan menjalani pemeriksaan kesihatan esok.
#Indonesia #Joko Widodo #Jusuf Kalla #Pemilihan Umum Indonesia 2014 #pemilu 2014
;