Pemergian Putera Philip: Rakyat Britain berkabung
Astro Awani
April 9, 2021 07:06 MYT
April 9, 2021 07:06 MYT
SUSULAN kematian Putera Philip pada pagi Jumaat, United Kingdom mengumumkan tempoh berkabung selama lapan hari.
Penghormatan terakhir turut diberikan kepada suami Ratu Elizabeth II itu di seluruh London di mana paparan skrin di Piccadily Circus memaparkan foto Duke of Edinburgh itu.
Rakyat Britain turut berduka dengan meletakkan bunga di hadapan Istana Buckingham.
Sebagai penghormatan juga, Westminster Abby turut membunyikan loceng sebanyak 99 kali, sebagai simbolik usia Putera Philip ketika menghembuskan nafas terakhir.
Untuk rekod, Putera Philip tidak akan diberikan upacara pengebumian negara atau diberi penghormatan awam oleh orang ramai.
Bagi menghormati permintaan mendiang, jasadnya akan diletakkan di Istana Windsor menjelang pengebumian di Gereja St George.
Sementara itu, Ketua Pengarang True Royalty TV, Nick Bullen berkata walaupun kerajaan Britain tidak membenarkan orang ramai berkumpul di hadapan Istana Buckingham, kemungkinan arahan itu tidak diendahkan rakyat jelata.
Bullen meramalkan akan lebih ramai rakyat jelata yang keluar memberikan penghormatan terakhir ke atas pemergian Putera Philip.
"Kerajaan mengeluarkan arahan agar orang ramai tidak berkumpul bagi meletakkan bunga di beberapa kawasan di Istana, tetapi, saya rasa, ia sesuatu yang sukar untuk menghalang orang ramai dari berkumpul.
"Media sudah menunjukkan, orang ramai sudah mula keluar untuk berkongsi kesedihan setelah pengumuman dibuat. Rakyat berduka dengan pemergian Duke of Edinburgh dan mahu memberi penghormatan terakhir.
"Begitu juga kepada Ratu Elizabeth II yang akan berusia 95 tahun pada 21 April ini. Wanita ini akan mengebumikan suaminya dan dalam masa beberapa hari lagi akan meraikan ulang tahunnya dan melangkah ke tahun jubli platinumnya.
"Seperti yang kita tahu, ini adalah tahun jubli yang tidak pernah dialami raja lain. Oleh itu, saya rasa orang ramai akan tetap berkumpul menyokong Ratu," katanya.
#berkabung
#London
#United Kingdom
#meninggal dunia
#Britain
#pengebumian
#Putera Philip
#kematian
#Istana Buckingham
#penghormatan terakhir
#Westminster Abby
#loceng
#Duke of Edinburgh