Pemerdagangan manusia terus beri cabaran utama - Menteri Luar Indonesia

Bernama
Ogos 11, 2023 16:53 MYT
Retno Marsudi berkata, Indonesia telah mengendalikan lebih 2,800 kes melibatkan rakyatnya yang menjadi mangsa skim sedemikian di negara jiran. - FB Setkab RI
JAKARTA: Pemerdagangan manusia semakin menyalahgunakan teknologi untuk merekrut dan mengeksploitasi mangsa mereka, kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi sambil menyatakan ramai daripada mangsa akhirnya terjerumus dalam industri penipuan dalam talian.
Kepentingan menangani isu berkenaan adalah penting bagi Indonesia, memandangkan kerajaan telah mengendalikan lebih 2,800 kes melibatkan rakyat Indonesia yang menjadi mangsa skim sedemikian di negara jiran.
Hampir 40 peratus daripada kes itu melibatkan pemerdagangan manusia, katanya dalam ucapannya semasa Forum Kerajaan dan Perniagaan Proses Bali (GABF) yang diadakan di Bali dari 9-11 Ogos.
Ditubuhkan pada 2017, GABF ialah platform strategik untuk kerjasama kerajaan-perniagaan yang menekankan peranan penting perkongsian mereka dalam menghadapi perhambaan kontemporari.
"Kita mesti menghalang wilayah kita daripada menjadi pusat pemerdagangan manusia," tegasnya, sambil menekankan bahawa 'keuntungan tidak boleh datang dengan mengorbankan hak asasi manusia dan maruah.'
Retno menggalakkan perniagaan untuk melaksanakan piawaian usaha wajar, memastikan pengambilan beretika, pampasan yang adil dan persekitaran kerja yang ditambah baik untuk pekerja mereka.
Beliau mencadangkan agar perniagaan secara sukarela berkongsi usaha mereka untuk memerangi pemerdagangan manusia dan perhambaan, yang boleh melibatkan mendidik pekerja tentang risiko yang berkaitan.
Retno mencadangkan perniagaan terlibat dalam pencegahan secara dalam talian melalui pembangunan platform e-pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran dan dengan meningkatkan kesedaran di media sosial.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 Mei lalu, pemimpin ASEAN komited untuk membendung penyalahgunaan teknologi untuk pemerdagangan, memupuk kerjasama melalui mekanisme ASEAN.
Perniagaan boleh mengukuhkan usaha ini dengan meluaskan kerjasama dalam siasatan bersama seluruh rantau, melindungi pemberi maklumat dan menyokong undang-undang yang kukuh mengenai perniagaan dan hak asasi manusia, tambahnya.
-- BERNAMA
#pemerdagangan manusia #menteri luar Indonesia #Retno Marsudi #pemipuan dalam talian
;