Pemenang Hadiah Nobel perubatan Harald zur Hausen meninggal dunia

Bernama
Mei 30, 2023 14:14 MYT
Zur Hausen meninggal dunia pada Ahad di Pusat Penyelidikan Kanser Jerman (DKFZ) di Heidelberg. -Gambar fail/Wikipedia
HEIDELBERG: Penyelidik kanser terkenal Jerman dan pemenang Hadiah Nobel dalam Perubatan, Harald zur Hausen, meninggal dunia pada usia 87 tahun, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman.
Beliau meninggal dunia pada Ahad di Pusat Penyelidikan Kanser Jerman (DKFZ) di Heidelberg.
Zur Hausen mengetuai DKFZ di Heidelberg selama 20 tahun.
"Kami kehilangan seorang saintis cemerlang dan hebat dalam bidang virologi tumor," kata Pengerusi Lembaga Pengarah Saintifik DKFZ, Michael Baumann.
Pakar virologi yang terkenal di peringkat antarabangsa itu dianggap sebagai bapa intelek kepada vaksin yang digunakan secara meluas terhadap kanser serviks dan tumor lain, yang melayakkan beliau menerima Hadiah Nobel dalam Perubatan pada 2008.
Baumann berkata Harald zur Hausen telah membuka dimensi baharu dalam pencegahan kanser.
Baru-baru ini, saintis itu telah meneliti kemungkinan kaitan antara penggunaan susu dan daging lembu dan perkembangan kanser payudara dan kolon.
-- BERNAMA
#Harald zur Hausen #Penyelidik kanser terkenal Jerman #pemenang Hadiah Nobel dalam Perubatan #Pusat Penyelidikan Kanser Jerman
;