Pemburu haram rakus 'ratah zakar' akhirnya kecundang

Astro Awani
Oktober 24, 2019 12:49 MYT
Lelaki bernama Yarlen, 30, mengaku mula memburu haram sejak berumur 15 tahun. - Foto suspek oleh polis India
PARA pencinta haiwan menerima berita gembira setelah tersebar berita tertangkapnya seorang pemburu haram yang paling dikehendaki di India pada Rabu.
Lelaki bernama Yarlen, 30, mengaku mula memburu haram sejak berumur 15 tahun.
Harimau, beruang, burung merak dan babi hutan biasanya yang menjadi tumpuan buruan. Yarlen juga mempunyai ketagihan luar biasa kerana kemaruk makan zakar beruang 'sloth' – antara spesis beruang yang amat terancam di India.
Yarlen juga dikhabarkan begitu licik dan bebas memburu selama ini dengan `merasuah’ orang kampung `kunci mulut’ dan `lelap mata’ dengan `menghadiahkan’ mereka daging buruan terutamanya babi hutan sebagai habuan.
Usaha menjejak pemburu haram itu bermula pada 2013 apabila bangkai beruang 'sloth' ditemui pihak berkuasa Madya Pradesh.
Sebuah pasukan petugas diberi nama MP-STF (Madhya Pradesh – Special Task Force) ditubuh untuk memburu mereka yang bertanggung jawab.
Yarlen, yang juga mengguna nama samaran Luzalen atau Jasrat untuk mengelak dijejaki pemburunya ditangkap pada 2014 dan mengaku membunuh seekor harimau.
Disebabkan kecuaian, Yarlen berjaya meloloskan diri dan bergerak bebas memburu haram hingga tertangkapnya `tupai buruan’.
#babi hutan #beruang sloth #harimau #India #ketagihan luar biasa #Madhya Pradesh #makan zakar #pemburu haram #pencinta haiwan #polis
;