Pembunuhan pemimpin Sikh di Kanada, AS gesa India berkerjasama

Bernama
September 21, 2023 13:29 MYT
Kirby berkata pentadbiran Biden "sangat bimbang" dengan dakwaan yang dikemukakan oleh Trudeau, bahawa New Delhi bersubahat dalam pembunuhan Nijjar. - Gambar/ AP
WASHINGTON: WASHINGTON, 21 Sept (Bernama-Anadolu) - Rumah Putih menggesa India pada Rabu agar "bekerjasama sepenuhnya" dengan siasatan Kanada terhadap pembunuhan seorang pemimpin pemisah Sikh di bumi Kanada.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby berkata pentadbiran Biden "sangat bimbang" dengan dakwaan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, bahawa New Delhi bersubahat dalam pembunuhan pemimpin Sikh Kanada, Hardeep Singh Nijjar.
"Kami percaya bahawa siasatan itu harus diteruskan, sudah tentu, tanpa halangan. Fakta harus membawa penyiasat ke mana mungkin, dan pelaku yang bertanggungjawab atas serangan ini perlu diadili," kata Agensi Anadolu memetik Kirby sebagai berkata semasa taklimat maya.
"Kami sedang menyelaraskan dan berunding dengan Kanada secara rapat mengenai isu ini seperti yang anda jangkakan. Ini adalah perkara yang sangat serius."
"Kami menggalakkan India untuk bekerjasama sepenuhnya. Kami menggesa mereka untuk bekerjasama sepenuhnya," tambahnya, menafikan laporan bahawa pentadbiran Biden menolak permintaan Kanada selepas pengumuman Trudeau.
Hubungan antara Ottawa dan New Delhi telah mencapai tahap terendah selepas Trudeau mendakwa India terlibat dalam kematian Nijjar dengan kedua-dua negara mengusir diplomat kanan masing-masing.
Perbalahan itu berkaitan dengan pembunuhan Nijjar pada 18 Jun, yang ditembak mati di hadapan kuil Sikh di Surrey di Pantai Barat Kanada di wilayah British Columbia. Tiada tangkapan telah dibuat.
New Delhi menganggap Nijjar sebagai seorang pengganas kerana beliau adalah penyokong vokal kepada negara Khalistan merdeka di wilayah Punjab. Penyokong-penyokongnya menolak label pengganas. India menolak tuntutan bertanggungjawab sebagai "tidak masuk akal."
Trudeau membuat pengisytiharan yang belum pernah dibuat sebelum ini pada Isnin apabila beliau memberitahu Parlimen Kanada bahawa terdapat bukti "boleh dipercayai" India terlibat dalam pembunuhan itu. Hari berikutnya, beliau mendesak New Delhi untuk mengambil dakwaan tersebut "dengan serius."
Kementerian Luar India telah menolak dakwaan itu yang disifatkan sebagai "tuduhan yang tidak berasas."
-- BERNAMA
#Kanada #India #pembunuhan pemimpin Sikh #Amerika Syarikat
;