Pembunuhan orang awam di Ukraine: PBB gesa siasatan bebas dijalankan
Bernama
April 4, 2022 15:58 MYT
April 4, 2022 15:58 MYT
ISTANBUL: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad menggesa siasatan bebas dijalankan mengenai insiden lebih 400 orang awam terkorban di Bucha, Ukraine selepas pengunduran tentera Rusia.
"Saya amat terkejut dengan laporan mengenai orang awam terbunuh di Bucha, Ukraine.
"Siasatan bebas akan dapat memberi petunjuk dalang di sebalik kejadian dengan lebih berkesan," lapor Agensi Anadolu memetik ciapan Guterres di Twitter.
Sekurang-kurangnya 410 orang awam ditemukan maut di bandar Bucha berhampiran ibu negara Ukraine, Kyiv.
Pada Ahad, Kementerian Pertahanan Rusia menafikan tenteranya membunuh orang awam ketika berundur dari bandar itu.
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba turut menggesa organisasi antarabangsa menghantar pakar ke negara itu secepat mungkin bagi mengumpul bukti jenayah perang.
Krisis Rusia-Ukraine, yang bermula pada 24 Feb, mencetuskan kemarahan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta negara-negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
Sekurang-kurangnya 1,417 orang awam terbunuh dan 2,038 cedera di Ukraine, menurut agensi PBB.
Angka sebenar dikhuatiri lebih tinggi dan lebih 4.1 juta penduduk telah melarikan diri ke negara lain.
-- BERNAMA