Pembunuhan Khashoggi sesuatu yang tidak boleh diterima
Astro Awani
Oktober 21, 2018 07:25 MYT
Oktober 21, 2018 07:25 MYT
MENTERI Luar Arab Saudi menyifatkan pembunuhan wartawan kanan Jamal Khashoggi sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
Dalam satu temu bual dengan agensi berita asing, Adel al-Jubeir berkata, mereka yang terlibat akan menerima hukuman yang sewajarnya.
Katanya, pihak yang bertanggungjawab atas kematian kolumnis Washington Post itu telah bertindak di luar bidang kuasanya.
"Individu yang melakukan perkara ini melakukannya di luar bidang kuasa mereka. Jelas sekali, wujud satu kesilapan besar, dan yang lebih memburukkan keadaan adalah, cubaan untuk menutup kesilapan itu.
"Ia tidak dapat diterima oleh mana-mana kerajaan. Malangnya, perkara ini terjadi. Kami mahu memastikan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum," kata Adel pada Ahad.
Beliau juga menegaskan, Riyadh tidak tahu menahu di mana kedudukan mayat Khashoggi biarpun sebelum ini mengesahkan pembunuhan wartawan itu.
Arab Saudi mengesahkan agennya membunuh Khashoggi selepas berlaku pergaduhan dalam premis konsulat 2 Oktober lalu.
Namun, mereka menepis dakwaan yang mengaitkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, dalam pembunuhan tersebut.
Katanya, tidak ada seorang pun daripada 18 suspek yang ditangkap setakat ini, mempunyai kaitan rapat dengan Mohammed.
Amerika Syarikat sebelum ini turut membuat tuduhan sama.
#Adel al-Jubeir
#Amerika Syarikat
#Arab Saudi
#Jamal Khashoggi
#kerajaan
#konsulat
#mayat
#Mohammed Salman
#Pembunuhan
#Putera Mahkota
#Riyadh
#suspek
#wartawan