Pembunuhan Khashoggi: Rakan media desak keadilan ditegakkan

Astro Awani
November 12, 2018 13:57 MYT
Hatice Cengiz (tengah) ketika hadir pada majlis bagi memperingati 40 hari kematian Jamal Khashoggi di Istanbul, 11 Nov, 2018. (Foto AP)
Persatuan Media Turki Arab pada Ahad mendesak keadilan ditegakkan susulan pembunuhan kejam wartawan kanan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, di Istanbul awal Oktober lalu.
Ketuanya Turan Kislacki menegaskan, kejadian itu tidak wajar berlaku dalam era ini dan perkara seumpamanya tidak seharusnya dibiarkan berulang.
"Kami mahukan keadilan ditegakkan. Kami mendesak keadilan susulan perbuatan kejam ini.
"Ia bagi menunjukkan mereka tidak boleh melakukan perkara seperti ini dalam abad ini, bagi memastikan pembunuhan seumpamanya tidak akan berlaku lagi.
"Ia perlu dilakukan oleh mahkamah antarabangsa. Seluruh dunia perlu melihat keadilan ditegakkan kerana insiden ini turut membabitkan masyarakat dunia," kata Kislacki.
Beliau berkata demikian pada satu majlis bagi memperingati 40 hari kematian kolumnis The Washington Post itu, anjuran persatuan tersebut dan rakan Khasoggi, yang turut dihadiri tunangnya Hatice Cengiz.
Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis Dan Britain difahamkan telah pun mendengar rakaman audio berkaitan pembunuhan Kashogghi.
Pada Sabtu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengesahkan kepada umum kewujudan rakaman audio berkenaan.
Turki kini kini berusaha untuk mengekstradisi 18 suspek yang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi bagi membolehkan pendakwaan dilakukan di Turki.
Mereka termasuk 15 individu yang dipercayai daripada skuad pembunuh.
#Amerika Syarikat #Arab Saudi #Hatice Cengiz #Istanbul #Jamal Khashoggi #Keadilan #mahkamah #Persatuan Media Turki Arab #suspek #Turan Kislacki #Turki #wartawan
;