Pembunuhan Khashoggi: AS kenakan sekatan visa sasar warga Arab Saudi

Astro Awani
Februari 26, 2021 07:34 MYT
Amerika Syarikat mengumumkan larangan dan sekatan visa dengan menyasarkan warga Arab Saudi susulan laporan risikan berkaitan pembunuhan Jamal Khashoggi. -Gambar fail
WASHINGTON : Amerika Syarikat (AS) mengumumkan larangan dan sekatan visa dengan menyasarkan warga Arab Saudi.
Ia susulan laporan dikeluarkan badan risikan negara Uncle Sam itu yang mendakwa Putera Mahkota Mohammed Salman terlibat secara langsung dalam pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi pada tahun 2018.
Pentadbiran Joe Biden bagaimanapun tidak pula mengenakan sekatan ke atas Mohammed Salman.
Tindakan itu sekali gus dilihat bercanggah dengan laporan risikan pada Jumaat yang mendakwa Mohammed Salman mengarahkan pembunuhan Khashoggi.
Tindakan itu difahamkan bagi menyelaraskan hubungan dengan Arab Saudi selepas bekas Presiden, Donald Trump menuduhnya memberikan pas pelanggaran hak asasi manusia kepada sekutu Arab dan pengeluar minyak utama.
Pegawai pentadbiran Biden berkata keputusan mengenai sekatan dan larangan visa akan memberikan mesej yang jelas tentang kemahuan AS agar hubungan yang baik di antara Arab Saudi-AS terjalin pada masa depan.
Kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota berusia 35 tahun itu.
Jelasnya lagi, AS tidak mengenakan sekatan terhadap Putera Mahkota Arab Saudi kerana ada pendekatan lain yang lebih berkesan boleh dilakukan.
#Donald Trump #Visa #Amerika Syarikat #Jamal Khashoggi #Arab Saudi #AS #hak asasi manusia #sekatan dan larangan visa #Lloyd Austin #Joe Biden
;