Pembunuhan Khashoggi: Arab Saudi dakwa laporan risikan AS palsu, tidak boleh diterima
Astro Awani
Februari 26, 2021 06:35 MYT
Februari 26, 2021 06:35 MYT
RIYADH: Arab Saudi menolak sepenuhnya laporan risikan Amerika Syarikat pada Jumaat yang mendakwa Putera Mahkotanya telah mengarahkan pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi.
Dalam satu kenyataan, Menteri Luar Arab Saudi menegaskan dakwaan risikan itu sebagai laporan yang negatif, palsu dan tidak boleh diterima.
Malah, rumusan dan maklumat yang dibuat risikan Amerika Syarikat (AS) didakwa tidak tepat.
"Jenayah ini dilakukan oleh sekumpulan individu yang telah melangkaui semua peraturan yang berkaitan dan kerajaan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan tragedi seperti itu tidak berlaku lagi," kata kenyataan itu lagi.
Pada Jumaat, laporan risikan yang diterbitkan AS mendedahkan pembunuhan Khashoggi pada 2018 itu telah diarahkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.
Putera Mohammed dilapor meluluskan rancangan untuk menangkap atau membunuh Khashoggi yang hidup dalam buangan di AS.
Khashoggi dibunuh ketika berada di dalam bangunan Konsulat Arab Saudi di Turki.
Mayatnya yang dipercayai dikerat dan dibuang tidak ditemui sehingga kini.
Mahkamah di Arab Saudi sebelum ini menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas lima individu yang didakwa bertanggungjawab atas pembunuhan Khashoggi.
Putera Mohammed bagaimanapun nafi terlibat mengarahkan pembunuhan itu.
Khashoggi merupakan pengkritik lantang pentadbiran Arab Saudi.
#AS
#Arab Saudi
#Jamal Khashoggi
#Putera Mohammed Salman
#Konsulat Arab Saudi
#menteri luar arab saudi
#mayat dikerat