Pembunuhan Ismail Haniyeh tidak akan berlaku tanpa kebenaran AS - Iran
Astro Awani
Ogos 1, 2024 09:45 MYT
Ogos 1, 2024 09:45 MYT
DUTA Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara terbuka menyalahkan Amerika Syarikat (AS) di atas kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Wakil Tetap Iran ke PBB, Saeed Iravani dalam ucapannya pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada Rabu, bahkan turut mendakwa, pembunuhan Ismail juga tidak mungkin berlaku tanpa kebenaran AS dan sokongan perisikan.
“Tanggungjawab Amerika Syarikat sebagai sekutu strategik dan penyokong utama rejim Israel di rantau ini tidak boleh diabaikan dalam jenayah ngeri ini,” kata Saeed.
“Israel juga mengejar (matlamat) politik dengan tindakan ini yang bertujuan mengganggu hari pertama kerajaan baharu Republik Islam Iran yang mengutamakan pengukuhan keamanan dan kestabilan di rantau ini selain meningkatkan kerjasama dan penglibatan konstruktif dengan komuniti antarabangsa,” tambah Iravani.
Pasukan pejuang Hamas pada Rabu berkata, pemimpin tertingginya, Ismail terbunuh dalam serangan yang dipercayai menjadi sasaran peluru berpandu di ibu negara Iran, Tehran.
Israel, bagaimanapun, tidak mengesahkan atau menafikan penglibatan mereka di sebalik pembunuhan Ismail.
Awal hari ini, Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood pula dilaporkan berkata: "Amerika Syarikat tidak menyedari atau terlibat dalam kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh," sambil menambah bahawa AS juga "tidak mempunyai pengesahan secara bebas mengenai dakwaan Hamas mengenai kematiannya."