Pembunuhan Ismail Haniyeh: Parlimen Iran buat mesyuarat tergempar, Ali Khamenei ikrar balas dendam
Firdaus Azil
Julai 31, 2024 17:19 MYT
Julai 31, 2024 17:19 MYT
TEHRAN: Jawatankuasa Keselamatan Nasional dan Polisi Luar Parlimen Iran akan mengadakan mesyuarat tergempar susulan serangan rejim zionis Israel yang menyebabkan Ketua Hamas, Ismail Haniyeh.
Agensi berita Tehran Times memetik jurucakap jawatankuasa, Ebrahim Rezaei sebagai berkata, pembunuhan Ismail adalah 'perbuatan bacul' dan pelakunya akan menerima balasan yang setimpal.
Kenyataan yang keras turut dikeluarkan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang berikrar perbuatan Israel itu bakal membuka laluan untuk ‘pembalasan’ untuk rejim Zionis itu.
“Penjenayah dan pengganas rejim Zionis telah menyebabkan tetamu kami mati syahid di dalam negara kami, dan ini adalah sesuatu yang menyedihkan. Tetapi ia telah mewujudkan keadaan untuk pembalasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Ismail tidak pernah takut untuk mati syahid, dan sentiasa bersedia untuk dalam kehidupannya, tetapi – “kejadian yang memilukan ini terjadi di dalam wilayah Republik Islam, jadi kami melihat adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membalas dendam”.
Selain Ismail Haniyeh, Khamenei turut menzahirkan ucapan takziah kepada pemergian salah seorang anggota keselamatan pemimpin Hamas itu.
Ismail, 62, terkorban dalam serangan peluru berpandu, yang disasarkan di tempat penginapannya di Tehran, pada awal pagi Rabu.
Pada Jun lepas, sekurang-kurangnya 10 ahli keluarga Ismail termasuk kakaknya, terkorban dalam serangan udara Israel di kem pelarian Beach, Gaza.