Pembunuhan Ismail Haniyeh: Israel sedang bergerak ke arah kegelapan – Briged al-Qassam
Firdaus Azil
Julai 31, 2024 19:00 MYT
Julai 31, 2024 19:00 MYT
TEHRAN: Tindakan membunuh Pemimpin dan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di tengah-tengah ibu kota Iran, bakal mengalihkan pertempuran ke dimensi baharu, dan akan mewujudkan tindak balas besar-besaran di seluruh wilayah.
Ringkasan AI
- Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas: Tindakan membunuh Pemimpin dan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di tengah-tengah ibu kota Iran, bakal mengalihkan pertempuran ke dimensi baharu. Rejim Zionis telah mengembangkan skop keganasan mereka dan membunuh pemimpin-pemimpin gerakan di arena yang berlainan, serta mencabul kedaulatan negara serantau.
- Kritikan terhadap Perdana Menteri Israel: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang dibutakan dengan ilusi keagungan, sedang membawa entiti penjajah menuju ke kegelapan, mempercepatkan keruntuhan dan mengakibatkan pengusiran penuh dari tanah Palestin. 3, Kesedaran dan Sumpah Briged al-Qassam: Perjuangan ini bertindak sebagai pertahanan di barisan hadapan untuk seluruh negara, menyebabkan musuh berusaha untuk menghancurkan dan menundukkannya dengan memberi tumpuan kepada pencerobohan yang lebih besar terhadap negara dan rakyat di rantau ini. Briged al-Qassam bersumpah rejim Zionis akan membayar tindakan pencerobohan itu dengan darah mereka sendiri, sama ada di Gaza, di Tebing Barat, dan di mana jua tentera Briged al-Qassam berada.
Jurucakap Briged al-Qassam dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, rejim Zionis telah tersalah langkah dengan mengembangkan skop keganasan mereka dan membunuh pemimpin-pemimpin gerakan di arena yang berlainan, serta mencabul kedaulatan negara serantau.
Katanya lagi, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang dibutakan dengan ilusi keagungan, sedang membawa entiti penjajah menuju ke kegelapan, mempercepatkan keruntuhan dan mengakibatkan pengusiran penuh dari tanah Palestin.
“Tindakan melulu Zionis ini perlu berakhir, kemaraan musuh mesti ditangani, dan pengaruh mereka perlu dihentikan daripada menyebabkan lebih banyak pencorobohan. Perbuatan jenayah mereka yang berterusan telah mewujudkan kesedaran di kalangan negara dan rakyat di wilayah ini, menyebabkan mereka akan terus menyokong perjuangan di Palestin.
“Perjuangan ini yang bertindak sebagai pertahanan di barisan hadapan untuk seluruh negara, menyebabkan musuh berusaha untuk menghancurkan dan menundukkannya dengan memberi tumpuan kepada pencerobohan yang lebih besar terhadap negara dan rakyat di rantau ini,” katanya lagi.
Briged al-Qassam mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh, yang sedang berada di Tehran untuk mengikuti majlis pelantikan Masoud Pezeshkian sebagai Presiden Iran yang baharu.
Jurucakap pergerakan tersebut berkata, mereka bersumpah rejim Zionis akan membayar tindakan pencerobohan itu dengan darah mereka sendiri, sama ada di Gaza, di Tebing Barat, dan di mana jua tentera Briged al-Qassam berada.