Pembunuhan Ismail Haniyeh: Israel tak mahu cetus peningkatan perang, tapi sedia semua kemungkinan

Astro Awani
Julai 31, 2024 09:28 MYT
Memetik media antarabangsa, tentera rejim Zionis itu dalam kenyataan ringkas juga enggan mengulas lanjut berhubung serangan tersebut, yang dikaitkan dengan Israel - Foto/REUTERS
KUALA LUMPUR: Israel mendakwa masih menjalankan siasatan penilaian situasi berhubung pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh dalam serangan yang berlaku pada Rabu.
Memetik portal Tehran Times, tentera rejim Zionis itu dalam kenyataan ringkas enggan mengulas lanjut berhubung serangan tersebut, yang dikaitkan dengan Israel.
Sementara itu, dalam kenyataan terbaharu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant menegaskan negara haram itu tidak mahu mencetuskan peningkatan perang, tetapi ‘bersedia untuk semua senario’.
"Kami tidak mahu perang, tetapi kami sedang bersedia untuk semua kemungkinan," katanya.
Bulan lalu, Gallant membuat kenyataan yang sama ketika ketegangan dengan Hizbullah memuncak, mengatakan Israel tidak mahu perang di Lubnan tetapi boleh menghantar jirannya "kembali ke zaman batu".
Susulan serangan tersebut, pemimpin-pemimpin dunia termasuk Iran dan Turki mengecam keras tindakan Israel yang didakwa telah melanggar undang-undang antarabangsa.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan, mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail yang dipercayai terbunuh selepas kediaman beliau dibedil peluru berpandu pada Rabu.
Menurut Anwar, pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.
"Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih daripada 40,000 nyawa," tambah Anwar.
Pada Jun lepas, sekurang-kurangnya 10 ahli keluarga Ismail termasuk kakaknya terkorban dalam serangan udara Israel di kem pelarian Beach, Gaza.
#Ismail Haniyeh #pembunuhan Ismail Haniyeh #rejim zionis Israel #Anwar Ibrahim