Pembunuhan etnik: China, Myanmar terlibat - AS

Astro Awani
Julai 13, 2021 09:50 MYT
Antony Blinken bercakap mengenai Laporan Tahunan Jabatan Negara kepada Kongres mengenai Pembunuhan Beramai-ramai dan Kekejaman, di Jabatan Negara, Washington, 12 Julai, 2021. (Foto AP)
PENTADBIRAN Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Isnin memperbaharui tuduhan terhadap China berhubung pembunuhan beramai-ramai dan penindasan terhadap etnik Islam Uyghur serta minoriti lain di wilayah Xinjiang.
AS turut memberi amaran kepada Myanmar, Eritrea, Ethiopia dan Selatan Sudan mengenai kemungkinan sekatan lebih lanjut susulan isu konflik pembersihan etnik di negara masing-masing.
Ia menghantar mesej tersebut dalam laporan tahunan Jabatan Negara kepada Kongres mengenai pencegahan genosida dan kekejaman.
Dalam laporan tersebut, AS menyeru kerajaan persekutuan menguraikan langkah-langkah yang diambil untuk mencegah dan menghentikan aktiviti tersebut di luar negara.
"Pentadbiran ini akan mempertahankan dan melindungi hak asasi manusia di seluruh dunia, dan mengiktiraf bahawa pencegahan kekejaman adalah kepentingan keselamatan negara dan tanggungjawab moral yang teras," katanya.
Menurut laporan itu, Amerika percaya tindakan China terhadap Uyghur merupakan genosida atau pembunuhan beramai-ramai.
Setiausaha Negara Antony Blinken beberapa kali menegaskan, China melakukan pembunuhan beramai-ramai dan kejahatan kemanusiaan terhadap etnik Uyghur, termasuk penjara, penyiksaan dan penganiayaan.
Laporan itu juga menyatakan Myanmar tetap berisiko melakukan pembunuhan beramai-ramai, khususnya pembersihan etnik terhadap Muslim Rohingya di utara Rakhine.
Amerika akan terus berkoordinasi dengan sekutu dan rakan kongsi untuk menekan kerajaan tentera Myanmar supaya menghentikan semua penindasan, termasuk kekerasan terhadap protes rakyatnya serta keganasan terhadap Rohingya.
Laporan itu juga menyebut Eritrea dan Ethiopia bertanggungjawab dalam pembersihan etnik dan tindakan keras akibat perbezaan pendapat di Wilayah Tigray.
Di tempat lain di Afrika, laporan itu menyebut, keadaan semakin buruk di selatan Sudan di mana kerajaannya telah melakukan pembunuhan orang awam berdasarkan etnik, kekerasan seksual yang meluas dan penggunaan makanan sebagai senjata perang.
#pembunuhan beramai-ramai #Uyghur #Joe Biden #Amerika Syarikat #China #Myanmar #Rohingya #Rakhine #penjara #Islam #laporan tahunan #etnik #Pembunuhan #Antony Blinken #genosida
;