Pembunuhan empat mangsa di Sulawesi Tengah berniat memecah belah rakyat - Jokowi
Astro Awani
November 30, 2020 06:11 MYT
November 30, 2020 06:11 MYT
PRESIDEN Indonesia Joko Widodo pada Isnin mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan empat penduduk tempatan oleh pihak yang dipercayai militan Daish.
Jokowi menganggap perkara itu sebagai “melebihi had kebolehan manusia”.
Menurut Jokowi, serangan keganasan di Sulawesi Tengah pada Jumaat lalu itu bertujuan menimbulkan pecah belah dalam kalangan rakyat di negara terbesar dengan populasi majoriti Islam itu.
“Kelakuan jijik itu mempunyai niat untuk membangkitkan kemarahan dan kegentaran dalam kalangan rakyat Indonesia. Mereka ingin memusnahkan kesatuan dan persaudaraan orang kita,” katanya, lapor Reuters.
Pada masa sama, pemimpin Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu menyeru agar seluruh rakyat bersatu melawan keganasan.
Tambah Jokowi, pihaknya turut bersedia mengerahkan pegawai khas untuk mencari dalang di sebalik insiden tragik yang meragut nyawa empat orang beragama Kristian.
Setakat Jumaat, lebih 100 ahli tentera dan pegawai polis telah dikerahkan di lokasi serangan itu yang turut pernah menjadi tapak perang di antara Islam dan Kristian pada akhir tahun 1990-an dan awal 2000 itu.
Dalam serangan itu, seorang daripada mangsa dipenggal kepala manakala tiga lagi dicelah tekak, sebelum rumah dan tempat beribadat dibakar.
Pihak berkuasa berpendapat kumpulan militan Daish yang terlibat adalah kumpulan Mujahidin Indonesia Timur (MIT), namun tiada yang mengaku bertanggungjawab setakat ini.
#Joko Widodo
#Indonesia
#Islam
#militan
#serangan
#tentera
#PDI-P
#keganasan
#pegawai khas
#Kristian
#dipenggal kepala
#Mujahidin Indonesia Timur
#daish
#Bantahan