Pembunuhan bersiri: Suspek rancang bunuh jiran sebab mahu 'buang sial'

Astro Awani
Januari 23, 2023 16:19 MYT
Tiga suspek terlibat dalam pembunuh bersiri - Solihin atau Duloh (kiri); Wowon Erawan (tengah); dan Muhammad Dede Solehudin (paling kanan) - Foto/Kredit Polis Metro Jaya, Jawa Barat
JAKARTA: Salah seorang suspek kes pembunuhan bersiri di Cianjur dan Bekasi, Jawa Barat, Indonesia mendedahkan merancang membunuh jirannya kerana mahu 'membuang sial'.
Motif pembunuhan tersebut diakui oleh Solihin atau Duloh ketika disoal siasat pihak berkuasa berhubung pembunuhan sembilan individu, yang antaranya mempunyai pertalian persaudaraan dengan tiga suspek utama kes berkenaan.
Memetik laporan Kompas.com, Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Ketua Pesuruhjaya Trunoyudo Wisnu Andiko berkata suspek mengakui merancang membunuh seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Ujang Zaenal Mustofa, 54.
"Alasannya kepada polis, suspek mengaku hendak membunuh Ujang untuk membuang sial.
"Caranya membunuh orang yang bermusuhan dengan perancang. Modus operandinya dengan memasukkan dua bungkus racun sisa dari Bekasi ke dalam satu uncang kopi yang diletakkan di pagar depan rumah Ujang,” kata Trunoyudo seperti dilapor portal berkenaan.
Selain Solihin, dua lagi suspek utama dalam pembunuhan tersebut ialah Wowon Erawan atau Aki dan adiknya, Muhammad Dede Solehudin.
Jelas Trunoyudo lagi, Solihin menerima arahan daripada Wowon agar membunuh Ujang kerana bermusuhan dengannya.
Susulan arahan tersebut, Solihin kemudian meletakkan kopi tersebut di depan rumah Ujang dengan tujuan agar mangsa minum kopi tersebut dan meninggal seperti yang lain.
Begitu pun, Ujang terselamat daripada maut dan menerima rawatan di sebuah hospital.
Menceritakan detik hitam tersebut, Ujang berkata sebaik sahaja meminum kopi itu, dia tidak sedarkan diri.
“Rasa kopi itu tidak enak, pahit seperti ada bau-bau tetapi tidak tahu bau apa," katanya.
Tidak berapa lama selepas meminum kopi tersebut, Ujang mula berasa pening hingga sukar untuk bernafas.
Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan tiga suspek membunuh mangsa-mangsa kerana mahu membolot harta mereka serta sebagai menutup perbuatan jahat dilakukan suspek.
Antara yang terkorban dikenali sebagai Noneng, Wiwin, Bayu, Farida dan Halimah yang dibunuh di Cianjur.
Seorang lagi mangsa dari Garut bernama Siti terbunuh selepas ditolak ke laut ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju Mataram, Lombok.
Manakala, tiga mangsa diracun di Bekasi adalah Ai Maimunah, Ridwan Abdul Muiz dan Muhammad Riswandi.
#Pembunuhan bersiri Jawa Barat #Bunuh sebab mahu buang sial #Sembilan maut diracun #berita luar negara
;