Pembunuhan beramai-ramai di Bucha, kesan dan akibat dakyah propaganda
Astro Awani
April 14, 2022 12:10 MYT
April 14, 2022 12:10 MYT
TINDAKAN Rusia yang melancarkan perang ke atas Ukraine tanpa sebarang provokasi sejak sebulan yang lalu rata-rata telah mendapat liputan luas tanpa henti dalam kalangan media tempatan dan juga antarabangsa.
Melalui laporan-laporan yang dibuat, kita dapat menyaksikan kesan ngeri jenayah perang yang sedang berlaku dalam abad ke-21 di Eropah.
Perang Rusia ke atas Ukraine yang zalim, tragik dan tidak adil ini telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat apabila dunia menyaksikan sehingga kini beribu orang awam telah terkorban, sejumlah 7 juta rakyat Ukraine menjadi pelarian di bumi sendiri dan seramai 4 juta orang awam lagi terpaksa lari menyelamatkan diri dengan berlindung di negara-negara berhampiran.
Tragedi yang berlaku ini adalah berpunca daripada cita-cita Rusia untuk kembali berkuasa sebagai sebuah negara imperialis walaupun negara ini pada hakikatnya sedang mengalami kemelesetan ekonomi yang berpanjangan disamping tidak pernah membangun sebagaimana yang diimpikan selama ini.
Begitulah bahayanya Rusia, sebuah negara yang sentiasa bercita-cita tinggi tanpa pernah cuba 'mengukur baju dibadan sendiri'.
Dek (deck) legasi masa lalu yang membolehkan mereka mempunyai stok simpanan senjata nuklear yang terlalu banyak sehingga berlebihan, mereka gemar berkhayal untuk dapat mengembalikan kegemilangan masa lalu yang pada hakikatnya telah lama musnah ditelan zaman.
Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Bucha, sebuah pekan kecil di Kiev telah menyaksikan bukti tragik lagi menyedihkan dimana kaum wanita dan remaja perempuan Ukraine telah dirogol, orang awam dibunuh tanpa belas kasihan dengan mayat mereka ditemui dalam keadaan kedua-dua belah tangan mereka masih terikat, dan mayat-mayat ini dibiarkan bergelimpangan dikaki jalan dalam keadaan mengharukan.
Ini adalah bukti bahawa visi dan dakyah palsu Putin yang dicanangkan kepada rakyat Rusia mengenai perang ke atas Ukraine yang kononnya bertujuan mengusir pengaruh Nazisme dan untuk melindungi negara mereka dari ancaman luar adalah satu penipuan semata-mata.
Tambahan lagi, tragedi di Bucha ini tak semena-mena telah mengingatkan kita akan peristiwa sama iaitu tragedi pembunuhan orang Islam beramai-ramai di Srebrenica sewaktu Perang Bosnia pada tahun 1995.
Walaupun banyak bukti jelas telah terbongkar, Rusia tegar menyebarkan propaganda yang menyeleweng secara berterusan akan kesahihan tragedi ini kononnya berpandukan kepada pandangan 'golongan pakar' antarabangsa yang pada hakikatnya cuba memberikan naratif palsu untuk mengaburi mata dunia.
Tindakan ini bertujuan untuk memesongkan fakta sebenar serta berusaha menanam rasa was-was dari kalangan pemerhati akan persoalan adakah tragedi Bucha ini benar-benar berlaku?
Usaha ini telah mencemarkan ingatan kita terhadap ribuan nyawa orang awam yang terkorban akibat menjadi mangsa kegilaan Putin samada di Bucha mahupun di lain-lain tempat seluruh Ukraine sejak perang ini dilancarkan sebulan yang lalu.
Tingkah laku yang tidak bermoral tanpa rasa malu Kremlin ini sebenarnya sangat konsisten dengan usaha mereka dengan cuba 'menegakkan benang yang basah' melalui kaedah penipuan dan penafian walaupun bukti jelas menunjukkan sebaliknya.
Kaedah penipuan dan penafian ini kerap digunakan sebelum ini dalam peristiwa dan tragedi melibatkan kerakusan Rusia bagi melindungi jenayah pelanggaran hak kemanusiaan yang telah mereka lakukan berkaitan kes lain antaranya berkaitan kes-kes cubaan membunuh dengan kaedah meracun musuh politik Putin iaitu Alexander Litvinenko, Sergey Skripal, Alexey Navalny, kempen keganasan yang dibiayai Rusia untuk merampas wilayah Crimea dari Ukraine pada tahun 2014 dan juga dalam kes perbicaraan berkaitan Tragedi MH17.
Selain daripada itu, adalah penting untuk semua pihak benar-benar memahami beberapa prinsip asas berkaitan hubungan antarabangsa dan kenegaraan sebelum sebarang komen atau pandangan boleh dilontarkan berkaitan perang Rusia ke atas Ukraine.
Tambahan lagi apabila sebahagian daripada pandangan dan komen-komen tersebut sebenarnya telah dipengaruhi oleh naratif palsu yang menyeleweng dan sengaja dicipta oleh Rusia untuk mengelirukan semua pihak.
Prinsip tanpa kekerasan, penyelesaian pertikaian secara aman, tidak campur tangan, bebas menentukan masa depan negara masing-masing dan kesaksamaan hak antara negara yang berdaulat merupakan tiang-tiang asas hak kenegaraan yang termaktub di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dengan kata lain, hak-hak yang disebutkan ini adalah bersifat mutlak dan suci. Samada negara tersebut secara geografinya bersifat kecil mahupun besar, mereka mempunyai hak yang sama rata dalam sistem orde dunia sebagaimana yang dijelaskan di atas.
Melalui tindakan Rusia menyerang Ukraine, Moscow bukan sahaja telah melanggar hak sesebuah negara yang merdeka yang termaktub di dalam undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, malah mereka juga telah mengingkari Memorandum Budapest 1994 yang telah mereka meterai, selain turut memungkiri ikrar mereka pada tahun 2004 dalam Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan bersama Negara-negara Asia Tenggara dan banyak lagi memorandum dan perjanjian-perjanjian lain yang telah menggariskan keperluan pematuhan terhadap prinsip, tanggung jawab dan hak kenegaraan yang serupa.
Sepanjang kempen perang mereka di Ukraine sejak sebulan yang lalu, Tentera Rusia secara sedar dan sengaja telah mensasarkan peluru dan senjata api mereka ke atas populasi nyawa orang awam yang tidak berdosa termasuk rumah-rumah kediaman, infrastruktur awam yang bersifat kritikal seperti hospital-hospital, stesen-stesen keretapi dan kubu-kubu perlindungan orang awam.
Buktinya adalah apabila Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov sendiri walau sekalipun tidak pernah cuba mempertikaikan tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku sewaktu beliau didesak untuk menjelaskan tindakan juruterbang Rusia yang didapati bersalah mengebom sebuah hospital bersalin di Mariupol.
Tragedi ini telah membuka lembaran dan dimensi baru betapa dahsyatnya jenayah perang yang telah dilakukan oleh Tentera Rusia ke atas Ukraine.
Lanjutan daripada ini, Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini telah melulus dan menerima pakai tiga resolusi berkaitan isu pelanggaran hak yang telah dilakukan Rusia sewaktu kempen perang mereka ke atas Ukraine selain daripada menggugurkan keahlian negara tersebut daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Wujud juga desakan daripada negara anggota PBB supaya sebuah tribunal khas ditubuhkan bagi menyiasat dan melaporkan hasil siasatan secara terpeinci mengenai skala tindakan jenayah perang yang telah dilakukan oleh Rusia di Ukraine.
Usaha propaganda Rusia melalui penyebaran naratif palsu sangat merosakkan dan menyesatkan pemikiran manusia. Tragedi yang berlaku di Bucha bukanlah terjadi secara kebetulan, tetapi ianya adalah jenayah terancang.
Sejak bertahun lamanya, kumpulan politik elit di Rusia tanpa henti telah menyemai perasaan benci dengan merendahkan maruah dan martabat rakyat Ukraine di mata rakyat mereka.
Hasilnya adalah pada hari ini, tentera Rusia tanpa rasa bersalah telah melakukan jenayah perang melalui kaedah pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Ukraine.
Adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai manusia yang masih waras dan masih mempunyai kesedaran untuk menyemak semua dakyah dan propaganda palsu yang sentiasa cuba disebarkan Rusia berdasarkan kepada fakta dan bukti yang sahih dalam menentukan kebenaran.
Kerana kebenaran itu akan membebaskan kita dari kejahilan!
* Olexander Nechytaylo, Duta Besar Ukraine ke Malaysia
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.