Pembunuhan Abby Choi: Polis geledah tapak pelupusan sampah
Agensi
Februari 28, 2023 17:40 MYT
Februari 28, 2023 17:40 MYT
Polis Hong Kong mula menggeledah tapak pelupusan sampah untuk mendapatkan bahan bukti berkaitan pembunuhan kejam model dan pempengaruh popular, Abby Choi.
Menurut jurucakap polis Hong Kong, Superintendan Alan Chung, suspek dipercayai telah membuang beberapa bahan bukti termasuk beg pada 22 Februari lalu.
Kata beliau, polis juga tidak menolak bahan bukti berkenaan sebahagian daripada anggota badan manusia atau mungkin pakaian serta telefon milik mangsa.
Fokus pencarian, jelasnya, juga terarah kepada senjata yang digunakan untuk membunuh wanita malang berusia 28 tahun itu.
Menurut media tempatan, lebih 100 pegawai dikerahkan dalam operasi pencarian itu di Wilayah Baharu, Ta Kwu Ling.
Pada Ahad, tengkorak dan beberapa tulang rusuk Choi ditemui dalam periuk besar berisi sup di sebuah rumah tiga tingkat di Tai Po.
Beberapa anggota badan mangsa turut diambil minggu lalu daripada peti sejuk di kediaman yang sama.
Bagaimanapun, bahagian badan dan lengan Choi dilaporkan masih hilang.
Setakat ini empat suspek iaitu bekas suami, Alex Kwong, bekas abang ipar serta ibu bapa mentua Choi ditahan reman tanpa ikat jamin selepas dihadapkan ke mahkamah pada Isnin atas tuduhan membunuh dan menghalang proses keadilan.