Pembunuh Zainab terima hukuman gantung sampai mati
Agensi
Oktober 17, 2018 21:21 MYT
Oktober 17, 2018 21:21 MYT
Hukuman gantung sampai mati telah dilaksanakan ke atas lelaki yang didakwa merogol dan membunuh kanak-kanak berusia 6 tahun, Zainab Ansari.
Pelaksanaan hukuman ke atas Imran Ali, 24, dilakukan di penjara Kot Lakhpat di Lahore pada Selasa.
Menurut laporan antarabangsa, bapa dan saudara-mara mangsa turut hadir menyaksikan hukuman tersebut.
Bapa mangsa, Amin Ansari berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan kepada Imran.
Bagaimanapun, dia tidak berpuas hati apabila permintaannya agar hukuman tersebut disiarkan menerusi televisyen, ditolak Mahkamah Tinggi Lahore.
Terdahulu, mayat Zainab Ansari ditemui dalam keadaan menyayat hati di tempat pembuangan sampah di bandar Kasur, selatan Lahore pada 9 Januari selepas empat hari dia dilaporkan hilang.
Pembunuhan Zainab mencetuskan kemarahan di seluruh negara termasuk protes jalanan terhadap ketidakcekapan pihak polis dalam menjalankan tugas yang menyaksikan dua penunjuk perasaan terkorban.