Pembunuh bersiri Charles Sobhraj tekad saman banyak pihak, termasuk Nepal

Faida Rahim
Disember 24, 2022 12:30 MYT
Mahkamah Agung Nepal membebaskan Sobhraj atas alasan kesihatan selepas hampir 20 tahun di penjara. -REUTERS
PARIS: Pembunuh bersiri warga Perancis, Charles Sobhraj yang dipenjara di Nepal atas kesalahan membunuh pada era 70-an di seluruh Asia menyifatkan dirinya berasa ‘hebat’ selepas dibebaskan.
Memetik laporan AFP, Sobhraj merancang untuk menyaman ramai individu selepas ini.
"Saya rasa hebat... banyak yang perlu saya lakukan.
"Saya akan saman ramai pihak, termasuk Nepal," kata Sobhraj di dalam pesawat sebelum dihantar pulang ke Perancis.
Ketika disoal AFP sama ada dia telah dicemarkan dengan gambaran sebagai pembunuh bersiri, lelaki berusia 78 tahun itu berkata: "Ya, ya."
Mahkamah Agung Nepal memutuskan untuk membebaskan Sobhraj atas alasan kesihatan selepas hampir 20 tahun di penjara dan dihantar pulang ke Perancis dalam tempoh 15 hari.
Nama Sobhraj menjadi sebutan penduduk dunia selepas digelar sebagai ‘pembunuh bikini’ serta dikaitkan dengan lebih 20 kes pembunuhan.
Sobhraj kemudian ditahan di India pada tahun 1976 dan akhirnya menghabiskan tempoh hampir 20 tahun di penjara di sana.
Pada 1986, dia pernah melarikan diri sebelum ditangkap semula di Goa.
Kehidupan Sobhraj diangkat dalam siri "The Serpent" yang diterbitkan bersama oleh Netflix dan BBC.
Pada 2008, semasa dalam tahanan, Sobhraj berkahwin dengan Nehita Biswas yang merupakan anak kepada peguam belanya yang 44 tahun lebih muda.
#Charles Sobhraj #Mahkamah Agung Nepal #pembunuh bikini #Nepal
;