Pembinaan Titanic II diteruskan, bakal belayar pada 2022
Agensi
Oktober 24, 2018 10:05 MYT
Oktober 24, 2018 10:05 MYT
KAPAL mewah Titanic II dijangka akan membuat pelayaran sulung selama dua minggu pada 2022, selepas pembinaannya diteruskan susulan berakhirnya pertikaian yang membabitkan sumber kewangan, baru-baru ini.
Kapal itu akan berlayar dari Dubai ke Southampton, England dan kemudian ke New York, menggunakan laluan Atlantik Utara, sama seperti laluan kapal Titanic yang asal, yang tenggelam pada April 1912.
"Kapal ini akan mengikuti laluan perjalanan asal, membawa penumpang dari Southampton ke New York.
"Titanic II adalah projek unik yang akan memberi pendedahan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dan ia adalah untuk kepentingan umum," kata Pengerusi Blue Line, Clive Palmer kepada portal MSN.
Palmer pada asalnya mengumumkan rancangannya untuk membina replika tersebut pada 2012, dengan jangkaan ia akan belayar menjelang 2016.
Bagaimanapun, rancangan itu ditangguhkan kerana pertikaian bajet membabitkan nilai AS$500 juta.
Replika ini dilaporkan akan membawa jumlah penumpang yang sama iaitu 2,400 orang dengan 900 kru, tetapi yang lebih penting, ia akan dilengkapi ciri navigasi moden dan teknologi keselamatan, termasuk bot penyelamat yang mencukupi.
Pada 15 April 1912, kapal RMS Titanic tenggelam pada awal pagi selepas terlanggar bongkah ais di Newfoundland, hanya empat hari selepas memulakan pelayaran sulungnya, mengorbankan lebih 1,500 orang.
#1912
#bajet
#bongkah ais
#bot
#bot penyelamat
#Clive Palmer
#England
#kapal
#keselamatan
#kewangan
#laluan asal
#navigasi
#New York
#tenggelam
#Titanic
#Titanic II