Pembinaan kubur mewah haram - Majelis Ulama Indonesia

Bernama
Februari 26, 2014 07:30 MYT
Gambar Hiasan
Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa bahawa pembinaan kubur mewah adalah haram dari segi hukum agama.
"Orang yang hidup boleh menyiapkan kubur untuk si mati tetapi yang tidak dibolehkan ialah bermewah-mewahan," kata Ketua Majlis Tarjih Muhammadiyah, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Yunahar Ilyas di sini pada Rabu.
Muhammadiyah adalah antara organisasi yang menganggotai MUI.
Beliau berkata pembinaan kubur mewah hanya mengambil ruang untuk manusia yang masih hidup yang memerlukan tanah bagi dijadikan rumah kediaman.
"Sedangkan Islam, lebih mementingkan keperluan orang masih hidup berbanding orang yang sudah meninggal dunia.
"Seperti di Mesir, kubur dibina dengan begitu hebat sehingga lama-kelamaan orang hidup di kubur kerana lantai kubur dibina daripada seramik dan beratap," katanya.
Fatwa haram yang dikeluarkan itu bertepatan dengan prinsip agama Islam melarang melakukan hal yang berlebih-lebihan, kata Ilyas.
Menteri Agama Indonesia, Suryadharma Ali turut bersetuju dengan pendapat ulama bahawa pembinaan kubur mewah adalah berlebih-lebihan.
Beliau berkata orang ramai khususnya umat Islam harus melihat fenomena pembinaan kubur mewah dari perspektif kemanusiaan agar orang yang masih hidup tidak berada dalam kesusahan.
"Kalau kita tinjau dari sisi kemasyarakatan, masih banyak rumah orang yang masih hidup sangat teruk tetapi orang yang sudah meninggal pula berlebihan," katanya.
Suryadharma berkata walaupun belum membaca isi kandungan fatwa MUI, beliau berpendapat isu pembinaan kubur mewah perlu dinilai semula supaya umat Islam tidak berlebihan.
Beliau berkata dalam Islam, kubur hanya memerlukan tanda dengan ciri-ciri yang diperlukan sahaja.
"Dalam Islam itu sudah ditegaskan kubur itu sederhana sahaja. Kubur cukup dengan diberi tanda bahawa itu adalah kubur," katanya.
#haram #kubur #Majelis Ulama Indonesia #mewah
;