Pembersihan runtuhan di Gaza akibat serangan Israel makan masa 15 tahun - Agensi PBB

Bernama
Julai 15, 2024 16:22 MYT
UNRWA berkata pemindahan sisa perang di Gaza akan memerlukan lebih daripada 100 lori dan kos melebihi AS$500 juta. - Reuters
ISTANBUL: Pembersihan runtuhan bangunan akibat serangan maut Israel ke atas Semenanjung Gaza akan mengambil masa kira-kira 15 tahun, kata Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Isnin.
"Untuk membersihkan kira-kira 40 juta tan runtuhan perang di Gaza akan mengambil masa sehingga 15 tahun," lapor Agensi Anadolu yang memetik UNRWA berdasarkan penilaian oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
UNRWA berkata pemindahan sisa perang di Gaza akan memerlukan lebih daripada 100 lori dan kos melebihi AS$500 juta.
"Runtuhan menimbulkan ancaman maut kepada penduduk di Semenanjung Gaza kerana ia boleh mengandungi bahan letupan yang tidak meletup dan bahan berbahaya," katanya.
Anadolu melaporkan pada bulan lepas, Radio Tentera Israel yang memetik pegawai tentera berkata, kira-kira 50,000 bom telah dijatuhkan di Gaza oleh pesawat perang Israel sejak 7 Oktober lepas dan menambah antara 2,000 hingga 3,000 bom tidak meletup.
Hampir 38,700 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sementara lebih daripada 89,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Lebih sembilan bulan dalam serangan Israel, sebahagian besar Gaza tinggal dalam bentuk runtuhan di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang dalam keputusan terbaharunya mengarahkan Israel segera menghentikan operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, di mana lebih daripada satu juta rakyat Palestin berlindung sebelum ia diserang pada 6 Mei.
-- BERNAMA
#pembersihan runtuhan #sisa perang #Gaza #UNRWA #serangan Israel #Palestin