Pemberontakan Wagner: Moscow tarik balik perintah darurat
Astro Awani
Jun 26, 2023 06:30 MYT
Jun 26, 2023 06:30 MYT
MOSCOW: Perintah darurat yang dikenakan di Moscow berikutan cubaan pemberontakan tentera upahan Rusia Wagner pada hujung minggu ditarik balik pada Isnin.
Ia selepas kemaraan kumpulan itu, diketuai Yvgeny Prigozhin berjaya dihentikan.
Penarikan semua sekatan dan perintah darurat itu diumumkan Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin menerusi satu makluman di aplikasi Telegram.
Menurut Sobyanin, festival graduasi sekolah tinggi yang awalnya dijadualkan pada Sabtu tetapi ditangguhkan berikutan situasi huru-hara akan berlangsung semula Sabtu ini.
Darurat antikeganasan juga ditarik balik di lebih banyak wilayah di Moscow dan wilayah Voronezh yang lebih jauh ke selatan.
Perebutan kuasa yang berlarutan sejak sekian lama meletus antara tentera Rusia dan tentera upahan swasta kumpulan Wagner diketuai Prigozhin pada hujung minggu.
Antara lain, tentera Wagner menduduki bandar Rostov-on-Don di selatan Rusia buat sementara waktu.
Semasa pemberontakan pantas itu, Prigozhin juga mengarahkan pejuangnya berarak ke Moscow untuk menggulingkan kepimpinan tentera.
Tentera upahan Wagner sedang bergerak ke ibu negara Rusia, Moscow apabila pemimpin mereka secara tiba-tiba membatalkan pemberontakan berikutan perjanjian dengan Presiden Belarus Alexander Lukashenko.
Kedudukan Prigozhin pada masa ini tidak diketahui walaupun dilaporkan beliau hidup dalam buangan di Belarus.
Manakala anggota tentera upahan Wagner pula diarahkan pulang semula ke Ukraine.