Pemberontak Yaman mahu gabungan diketuai Arab Saudi disiasat

Astro Awani
September 3, 2018 07:21 MYT
Orang ramai menghadiri majlis pengebumian beramai-ramai mangsa yang maut dalam serangan udara melibatkan sebuah bas di Saada, utara Yaman, 13 Ogos, 2018. REUTERS/Fail
Pemberontak Yaman mahu pakatan gabungan dipimpin Arab Saudi disiasat Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana melakukan jenayah perang susulan serangan udara yang membunuh orang awam bulan lalu.
Serangan itu dikatakan mengenai sebuah bas dinaiki kanak-kanak di sebuah pasar sibuk di Dhahyan, sebuah bandar utara Saada, yang dikuasai Houthi, 60 kilometer dari sempadan Saudi, 9 Ogos lalu.
Sekurang-kurangnya 51 mangsa, termasuk 40 kanak-kanak dilaporkan terbunuh.
Manakala 79 yang lain, termasuk 56 kanak-kanak cedera dalam kejadian di barat laut Yaman itu.
Menteri Hal-ehwal Undang-undang kerajaan Houthi, Abdelrahman al-Mukhtar berkata, gabungan itu tidak boleh berperanan sebagai hakim dan sekali gus sebagai juri, pada masa yang sama.
"Tindakan mereka memandang ringan jenayah yang dilakukan ke atas orang awam, orang Yaman, termasuk sebuah bas yang dipenuhi pelajar di Dhahyan, dianggap sombong.
"Mereka malah menyifatkan jenayah dan kejadian-kejadian itu sebagai kesilapan atau kesalahan risikan.
"Mereka juga mengumumkan akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.
"Semua justifikasi hanya mengesahkan satu perkara, iaitu, pemimpin gabungan itu bertanggungjawab atas jenayah perang yang dilakukan," kata Abdelrahman pada satu sidang media di sini pada Isnin.
Bulan lepas, pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata semua pihak dalam pertempuran itu mungkin bertanggungjawab melakukan jenayah perang dalam konflik tiga setengah tahun itu.
Perang saudara Yaman itu tercetus Mac 2015 membabitkan pakatan tentera diketuai Arab Saudi dan pemberontak Houthi.
PBB sebelum ini, menyifatkan konflik berkenaan sebagai krisis kemanusiaan paling teruk di dunia, dengan lebih daripada 22 juta memerlukan bantuan di negara Arab itu.
#Arab Saudi #krisis kemanusiaan #mangsa #serangan #Yaman
;