Pemberontak culik 40 tebusan, dua terbunuh

AFP
Januari 17, 2013 14:08 MYT
Agensi berita AFP melaporkan pemberontak Mali yang telah menculik lebih daripada 40 tebusan warga asing dilaporkan membunuh dua tahanan.
Kumpulan yang berada di sempadan Algeria sebelum ini menyatakan bahawa mereka telah menahan 41 tebusan warga asing, termasuk tujuh rakyat Amerika, dalam serangan Rabu lalu di pelantar minyak di Amenas.
Kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Signatories for Blood' berkata ia adalah tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh tentera Perancis di Mali.
Menteri Dalam Negeri Algeria, Dahou Ould Kablia berkata seorang warga Britain dan Algeria telah dibunuh dalam insiden itu, manakala enam lagi warga Britain, Norway, Scotland dan tiga warga Algeria cedera.
Laporan lain berkata tebusan itu juga termasuk warga Jepun, Malaysia, Norway dan Filipina.
Dublin mengesahkan penculikan seorang warga Ireland manakala jurucakap kerajaan Amerika Syarikat turut mengesahkan beberapa warganegaranya ditahan.
Pelantar minyak tersebut dikendalikan bersama oleh gergasi minyak BP, Statoil Norway dan firma Algeria Sonatrach.
Ia terletak 1300 kilometer dari tenggara Algiers, berhampiran sempadan Libya.
Penyerang juga menuntut pembebasan 100 tahanan di Algeria sebagai pertukaran untuk tebusan mereka, kata seorang pekerja pelantar minyak berkenaan.
#Al-Qaeda #Algeria #Mali #Perang Salib Perancis
;