Pemberi maklumat Boeing ditemui mati beberapa hari selepas beri keterangan
Nabilah Khaleeda
Mac 12, 2024 11:31 MYT
Mac 12, 2024 11:31 MYT
CAROLINA SELATAN: Seorang bekas pekerja Boeing yang lantang menyuarakan kebimbangan mengenai piawaian keselamatan pengeluaran pesawat syarikat itu telah ditemui mati.
John Barnett, 62, ditemui mati pada 9 Mac lalu dipercayai akibat kecederaan yang dilakukan sendiri.
Berita ini disahkan Koroner Charleston County dalam satu kenyataan kepada BBC pada Isnin.
“Barnett ditemui di dalam trak miliknya di tempat letak kereta sebuah hotel tempatan.
“Namun, tiada butiran lanjut tersedia buat masa ini,” tambahnya.
Beberapa hari sebelum kematiannya, Barnett telah disoal siasat oleh peguam Boeing dan peguamnya sendiri dalam tuntutan mahkamah terhadap gergasi aeroangkasa AS itu di Carolina Selatan.
Barnett telah bekerja untuk Boeing selama 32 tahun sebelum bersara pada 2017.
Sejak 2010, dia bekerja sebagai pengurus kualiti yang membuat 787 Dreamliner, yang digunakan kebanyakan syarikat penerbangan utama.
Dia pertama kali memberikan amaran pada 2019, mendakwa Boeing telah mengambil langkah tergesa-gesa mengeluarkan pesawat baharu itu daripada barisan pengeluaran.
“Sistem oksigen kecemasan yang dibuat untuk 787 Dreamliners mempunyai kadar kegagalan sebanyak 25 peratus yang dipasang secara sengaja.
“Ini bermakna satu perempat daripada pesawat jenis tersebut berpotensi kehilangan oksigen dengan cepat jika kabin tiba-tiba mengalami penurunan tekanan, menyesakkan penumpang.
Kenyataan dibuat selepas dua kemalangan tragis melibatkan pesawat Boeing 737 MAX 8 pada 2018 dan 2019 yang meragut lebih 350 nyawa.
Namun, katanya, tiada tindakan susulan diambil oleh pihak Boeing selepas laporan diutarakan.
Malah, Boeing pada masa itu menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa pesawat mereka dibina mengikut piawaian keselamatan dan kualiti yang tertinggi.
Tetapi pada tahun 2017, semakan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengesahkan beberapa dakwaan Bernett, dan mengarahkan syarikat itu untuk bertanggungjawab.
Jurucakap Boeing dalam pada itu berkata, mereka turut berduka cita dengan berita pemergian Bernett.
Pihak berkuasa, Jabatan Polis Charleston City sedang menjalankan siasatan secara aktif terhadap insiden tersebut. - Agensi