Pembentukan kerajaan sementara Bangladesh: Ketua tentera jumpa penunjuk perasaan
Reuters
Ogos 6, 2024 13:25 MYT
Ogos 6, 2024 13:25 MYT
DHAKA: Ketua tentera Bangladesh akan bertemu pemimpin protes pelajar pada Selasa, ketika negara itu menunggu pembentukan kerajaan baharu.
Ia berlaku sehari selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri dari negara itu berikutan protes ganas terhadap pemerintahannya.
Pemimpin pelajar yang menerajui gerakan menentang kuota pekerjaan, yang bertukar menjadi gesaan agar Hasina meletak jawatan, berkata pada awal Selasa, bahawa mereka mahu kerajaan sementara baharu dengan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Muhammad Yunus sebagai ketua penasihatnya.
"Mana-mana kerajaan selain daripada yang kami cadangkan tidak akan diterima," kata Nahid Islam, salah seorang penganjur utama pergerakan pelajar, dalam video di Facebook bersama tiga penganjur lain.
"Kami tidak akan menerima mana-mana kerajaan yang disokong tentera atau diketuai tentera.
"Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan Muhammad Yunus dan beliau telah bersetuju untuk memikul tanggungjawab ini atas jemputan kami," tambah Islam.
Panglima Tentera Bangladesh Jeneral Waker-Uz-Zaman merancang untuk bertemu penganjur protes pada 12 tengah hari waktu tempatan pada Selasa, kata tentera dalam satu kenyataan, sehari selepas Zaman mengumumkan peletakan jawatan Hasina dalam ucapan di televisyen dan berkata kerajaan sementara akan terbentuk.
Yunus, 84, dan Grameen Bank miliknya memenangi hadiah Nobel Keamanan 2006 untuk kerja mengeluarkan berjuta-juta rakyat daripada kemiskinan dengan memberikan pinjaman kecil di bawah $100 kepada golongan miskin luar bandar Bangladesh tetapi dia telah didakwa oleh mahkamah pada bulan Jun atas tuduhan penyelewengan, yang dinafikannya.
Yunus bagaimanapun belum memberi komen mengenai perkara itu.
Hasina, 76, mendarat di lapangan terbang tentera, Hindon, dekat Delhi pada Isnin selepas meninggalkan Dhaka, dua pegawai kerajaan India memberitahu Reuters.
Pegawai itu berkata, Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Doval menemuinya di sana. Mereka bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai penginapan atau rancangannya.