Pembeli teruja apartmen dijanjikan landskap tasik buatan cantik... Rupa-rupanya...

Agensi
November 23, 2019 21:11 MYT
Paparan imej dari sudut tinggi menunjukkan seolah-olah terdapat sebuah landskap taman dengan tasik membiru di ruang antara menara-menara blok. - Media sosial
Bayangkan perasaan pemilik unit apartmen yang teruja sewaktu menerima kunci kediaman baharu mereka, kerana antara lain memikirkan tentang landskap tasik buatan di taman tropika seperti yang dipromosi oleh syarikat pemaju.
Namun, keterujaan itu musnah sama sekali apabila mendapati itu hanya gimik untuk melariskan jualan hartanah itu, dan ‘tasik’ yang mereka idamkan itu sebenarnya hanyalah ‘lapisan plastik biru’ yang kekal di taman!
Malah, di bahagian taman yang sepatutnya berumput hijau, hanyalah diisi dengan susunan batu blok berongga yang hanya sesuai untuk kawasan parkir.
Portal South China Morning Post melaporkan, kejadian tular yang menimbulkan kemarahan ramai pembeli itu berlaku di sebuah kawasan komersial di Changsha, China.
Kebanyakan pemilik unit kediaman apartmen itu melepaskan kemarahan mereka menerusi laman sosial, selain mengadu kepada media dan pihak berkuasa perumahan.
Syarikat pemaju itu, Changsha Shiji Yujing Real Estate, pada awalnya menjanjikan apartmen tersebut memiliki pemandangan ‘taman hijau’ yang semula jadi, hingga membuat ramai pembeli tertarik.
Paparan imej dari sudut tinggi menunjukkan seolah-olah terdapat sebuah landskap taman dengan tasik membiru di ruang antara menara-menara blok.
Namun, gambaran ‘tasik di tengah taman' yang menjadi nilai tambah ketika hartanah itu hendak dijual, hanyalah hamparan biru yang diperbuat daripada material plastik, siap dengan binaan jambatan olok-olok yang kecil.
Syarikat pemaju Changsha Shiji Yujing bagaimanapun memberi maklum balas bahawa pihak mereka tidak pernah menjanjikan ‘tasik’ itu di apartmen tersebut, malah mengakui sudah menepati standard pembinaan sebagaimana yang ditetapkan pihak pemerintah.
#apartmen #China #pembeli apartmen #syarikat pemaju #tasik buatan
;