RIYADH: Pembekuan keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkemungkinan akan berlaku tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata demikian dalam satu sidang media pada Isnin di Riyadh selepas menghadiri Sidang Kemuncak Arab dan Islam mengenai situasi di Gaza dan Lubnan dianjurkan pemimpin OIC, Liga Arab dan Menteri Luar Arab Saudi.

Dalam masa sama, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, dalam sidang media sama berkata ketika ini, apa yang dapat dilihat sekarang adalah adanya konsensus besar dalam kalangan komuniti antarabangsa.

"Ini termasuk majoriti negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sejumlah besar negara terbesar di dunia yang berdiri teguh menyokong penyelesaian dua negara," kata beliau.

Akhir Oktober lalu, Menteri Luar Arab Saudi itu menyeru gencatan senjata segera dilaksanakan dalam satu mesyuarat 'Global Alliance' yang diadakan di Riyadh menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.

Konflik di Gaza telah mencetuskan konflik lebih meluas di Timur Tengah, dengan Israel mengebom Lubnan dan menghantar tentera ke selatan negara itu untuk melumpuhkan Hezbollah yang disokong Iran.