Pembantu Istana Buckingham ditahan bergaduh di parti Krismas

Agensi
Disember 14, 2024 08:15 MYT
Istana Buckingham sedang menjalankan siasatan selepas seorang kakitangannya ditahan susulan insiden pergaduhan di sebuah parti Krismas. - Gambar fail Reuters
LONDON: Istana Buckingham sedang menjalankan siasatan selepas seorang kakitangannya ditahan susulan insiden pergaduhan di sebuah parti Krismas.
Polis telah dikejarkan ke sebuah bar di Victoria, tengah London - yang terletak tidak jauh dari istana pada Selasa malam apabila perayaan sempena Krismas itu bertukar menjadi keganasan.
Seorang wanita berusia 24 tahun yang identitinya tidak didedahkan telah ditahan atas tuduhan melakukan serangan, kerosakan dan berkelakuan mabuk serta tidak terkawal, menurut Polis Metropolitan London kepada CNN.
Wanita berkenaan yang menghabiskan malam berkenaan dan sebahagian besar hari berikutnya di dalam tahanan polis dipercayai seorang pembantu di Istana Buckingham.
Ketika kejadian, dia berada di luar bersama sekitar 50 kakitangan istana, menurut laporan akhbar The Sun.
Difahamkan, dia memecahkan beberapa gelas kaca dan bertindak agresif terhadap seorang kakitangan bar.
Pihak pengurusan istana dilaporkan sedang menjalankan siasatan rapi dan tindakan tatatertib mungkin akan diambil.
Jurucakap istana memberitahu BBC: “Kami menyedari insiden yang berlaku di luar tempat kerja itu melibatkan beberapa kakitangan yang sebelum itu menghadiri satu majlis (resepsi) di Istana.
“Walaupun ini merupakan perhimpunan sosial tidak rasmi dan bukan parti Krismas rasmi istana, fakta-fakta kejadian ini akan disiasat sepenuhnya. Proses tatatertib yang tegas akan dijalankan terhadap individu yang terlibat, dan tindakan sewajarnya akan diambil.”
Jurucakap itu turut menjelaskan, perjumpaan di sebuah bar selepas acara resepsi tersebut tidak dianjurkan oleh pihak istana.
Polis Metropolitan London juga mengesahkan kejadian tersebut kepada CNN melalui e-mel, dengan menyatakan: “Pada jam 21:21 malam Selasa, 10 Disember, pegawai dipanggil ke sebuah bar di Victoria Street, SW1 susulan laporan bahawa seorang pelanggan telah memecahkan gelas dan cuba menyerang kakitangan bar.
“Pegawai tiba di tempat kejadian dan menahan seorang wanita berusia 24 tahun atas tuduhan melakukan serangan dan berkelakuan mabuk serta tidak terkawal.
“Dia dibawa ke dalam tahanan dan dibebaskan pada keesokan harinya selepas diberi notis denda kerana melakukan gangguan.” - CNN
#Istana Buckingham #pembantu Istana Buckingham #bergaduh #parti Krismas
;