Pembantaian komunis Indonesia 1965 dibicarakan di The Hague minggu ini
Astro Awani
November 9, 2015 16:39 MYT
November 9, 2015 16:39 MYT
TRAGEDI pembunuhan beramai-ramai anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) serta mereka yang dituduh terlibat atau menyokong gerakan komunis di republik itu 50 tahun lalu akan diadili dalam satu pengadilan rakyat di The Hague, Belanda, lapor portal berita Tempo.co.
Tribunal Rakyat Antarabangsa (Tribunal 1965) itu akan bersidang selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini.
Penyelaras penyelenggara Tribunal 1965, Nursyahbani Katjasungkana berharap pengadilan tribunal itu akan membuka jalan untuk kerajaan Indonesia meminta maaf kepada waris korban peristiwa berdarah itu.
“Permintaan maaf langkah awal sebuah pengakuan terhadap kejahatan yang dilakukan oleh pemerintah," katanya seperti dipetik oleh portal berita itu.
Tribunal itu dikendalikan oleh tujuh orang hakim. Ia akan mendengar tuntutan yang dikemukakan oleh enam orang peguam bersabit dakwaan pembunuhan beramai-ramai, penghilangan orang secara paksa, penyiksaan, keganasan seksual serta penglibatan negara lain dalam pembantaian itu.
Tribunal itu dijadual akan mendengar keterangan 16 orang saksi termasuk warga Indonesia yang kini menetap di luar negara kerana melarikan diri sejak 50 tahun lalu.
Laman web Tribunal 1965 ini menjelaskan pengadilan minggu ini yang menyamai tribunal rakyat terhadap pelecehan seksual oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua tidak akan mengikat kerajaan Indonesia atau mana-mana pihak secara perundangan.
Sementara itu, kerajaan Indonesia menafikan ia menyekat pelajarnya di Belanda daripada menghadiri tribunal berkenaan.
Kedutaan Besar Republik Indonesia di The Hague dalam satu kenyataan yang dipetik oleh The Jakarta Post menafikan mengeluarkan amaran kepada Persatuan Pelajar Indonesia termasuk ancaman ditarik balik biasiswa.
Penyelenggara tribunal itu turut memaklumkan perbicaraan empat hari itu boleh juga diikuti secara langsung di laman webnya.
Pembantaian ke atas anggota PKI dan mereka yang dituduh mendukung gerakan komunisme bermula selepas pembunuhan enam jeneral kanan tentera Indonesia dalam gerakan rampasan kuasa yang didakwa didalangi oleh parti itu.
Sehingga 500,000 orang dianggarkan dibunuh dengan kejam tetapi angka sebenar korban dipercayai jauh lebih tinggi.
Episod gelap dalam sejarah Indonesia itu mula jadi perhatian luas dunia selepas dokumentari mengenainya The Act of Killing menang banyak anugerah filem antarabangsa.
Dua novel Indonesia bertajuk Amba oleh Laksmi Pamuntjak dan Pulang oleh Leila S. Chudori yang mengangkat latar peristiwa yang sama juga jadi perhatian di Pekan Raya Buku Frankfurt baru-baru ini.
#Indoensia
#komunisme
#Nursyahbani Katjasungkana
#Pembunuhan
#Tribunal 1965
#Tribunal Rakyat Antarabangsa