Pembangunan IKN lewat daripada jadual akibat isu air, dana – Sarjana Universiti Padjadjaran
Irfan Faruqi
Julai 30, 2024 22:17 MYT
Julai 30, 2024 22:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara di Kalimantan ketika ini lewat berbanding jadual asal yang telah ditetapkan.
Ringkasan AI
- Kelewatan Projek: Pembangunan IKN Nusantara kini lewat berbanding jadual asal yang ditetapkan. Isu Infrastruktur dan Pendanaan: Masalah utama termasuk infrastruktur asas seperti air yang terhad dan pendanaan yang terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat. Usaha Mengikut Jadual: Kerajaan dan kontraktor sedang berusaha memastikan projek kembali mengikut jadual, terutama menjelang sambutan hari ulang tahun kemerdekaan pada 17 Ogos.
Ketua Pusat Pengajian Komunikasi, Media dan Budaya, Fakulti Ilmu Komunikasi Universiti Padjadjaran, Dr. Kunto Adi Wibowo berkata, isu utama yang menghambat kemajuan projek itu ialah infrastruktur asas seperti air yang terhad dan pendanaan yang terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan pusat.
“Kita ada masalah infrastruktur seperti kemudahan air yang terbatas. Ketika hujan, jalan yang belum siap dibina menyukarkan kenderaan untuk bergerak. Air bersih yang ada di IKN, lebih banyak air payau memandangkan ia terletak di kawasan tanah gambut. Situasi ini menimbulkan kerumitan teknik, dengan komplikasi yang sangat besar. Apatah lagi, ketika ini tidak ada pelaburan asing yang mahu memberi suntikan dana besar untuk projek IKN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Pembangunan IKN lewat daripada jadual akibat isu air, dana – Sarjana Universiti Padjadjaran
“Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sedang berusaha untuk mengembalikan proses pembangunan sesuai dengan jadual asal. Kalaupun tidak, jangan siap terlalu lewat. Tarikh akhir, 17 Ogos mungkin tidak dapat dipenuhi seperti perancangan awal,” ujarnya.
Menyentuh mengenai dana bagi tujuan projek mega tersebut, Kunto berkata kebimbangan berbangkit ketika ini apabila dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan Indonesia bahawa pelaburan asing hanya akan melawat tapak projek selepas pembangunan IKN selesai sekurang-kurangnya untuk fasa awal.
“Tempoh hari, Menteri Pelaburan Indonesia, Bahlil Lahadalia memaklumkan para pelaburan akan hadir selepas pembangunan IKN mencapai peratusan siap tertentu. Ini bermaksud dana negara yang menjadi pembiaya utama dalam pembangunan IKN sebelum pelaburan masuk,” katanya.
Idea pemindahan ibu negara dan pembangunan IKN diumumkan Jokowi pada 29 April 2019 yang antara lain sebagai sebahagian agenda pemerataan ekonomi, mencipta mercu tanda kota pentadbiran baharu menuju wawasan Indonesia Emas 2045, serta sebagai langkah mengatasi pelbagai masalah perbandaran yang dihadapi oleh Jakarta.
Agenda AWANI: Era baharu Indonesia | Dari Jakarta ke Nusantara