Pembangkang UK tuntut penjelasan lebih jelas, tegas berhubung pelonggaran sekatan

Astro Awani
Mei 11, 2020 08:00 MYT
Starmer menuntut agar penjelasan yang lebih menyeluruh dan tegas diberikan bagi mengelak berlakunya salah faham dalam kalangan rakyat, - Reuters
Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson dikritik pembangkang kerana pengumuman pelonggaran sekatan yang dilihat sebagai tidak jelas.
BACA: COVID-19: PM Britain umum pelan longgarkan sekatan
Pemimpin Pembangkang UK, Keir Starmer menuntut agar penjelasan yang lebih menyeluruh dan tegas diberikan.
Ini bagi mengelak berlakunya salah faham dalam kalangan rakyat, terutamanya apabila berbaki beberapa jam sahaja sebelum jutaan rakyat dijangka kembali bekerja.
“Saya berpandangan bahawa apa yang negara perlukan adalah penjelasan dan kata sepakat, namun kita gagal mendapatkannya.
“Mesej yang ringkas 'kekal berjaga-jaga' itu tidak cukup jelas dan lebih banyak soalan yang timbul berbanding jawapan dalam pengumuman perdana menteri.
“Kini kita menjangkakan England, Scotland dan Wales semua mentafsirkan mesej berbeza, bergerak dalam arah berbeza.
"Jadi penjelasan itu dan kata sepakat tidak wujud. Saya menghargai lebih banyak perincian akan dikemukakan esok.
“Lebih banyak soalan yang perlu ditimbulkan. Namun, pada ketika ini, terdapat jurang antara apa yang kita perlukan dan apa yang kita terima,”jelasnya.
Katanya, beberapa maklumat yang diumumkan Johnson juga amat membimbangkan.
“Jutaan orang diberitahu, terutamanya dalam sektor pembinaan dan pembuatan, mereka akan kembali bekerja esok. Itu dijangka dalam 12 jam lagi.
“Namun, mereka juga diberitahu supaya mengelak dari menggunakan pengangkutan awam sekiranya mampu. Itu satu masalah logistik yang dijangka berlaku pagi esok untuk jutaan orang,” katanya.
#Boris Johnson #England #Keir Starmer #pelonggaran sekatan #pembangkang #Perdana Menteri UK #rakyat #Scotland #United Kingdom
;