Pembangkang tidak setuju perlembagaan baru Mesir
Astro Awani
Disember 24, 2012 11:29 MYT
Disember 24, 2012 11:29 MYT
Biarpun rakyat Mesir bersetuju dengan perlembagaan baru negara itu, namun pembangkang pula sebaliknya.
Mereka mendesak inkuiri dijalankan susulan dakwaan berlaku penipuan dalam proses pungutan suara.
Keputusan rasmi pungutan suara itu dijangka diumumkan hari ini.
Menurut jurucakap National Salvation Front, Khaled Dawoud, “Kami juga akan berdepan dengan mana-mana peraturan yang mungkin diputuskan oleh Majlis Syura ataupun Parlimen yang mungkin mempengaruhi kepentingan rakyat dan masa depan mereka. Kita juga akan berusaha dalam segala kaedah demokratik untuk mengubah perlembagaan ini.”
Pembangkang mendakwa, pungutan suara itu didakwa tidak dipantau sepenuhnya selepas badan kehakiman melancarkan boikot.
Justeru, satu siasatan digesa dilakukan terhadap dakwaan berkenaan.
Keadaan ini merupakan satu petanda bahawa pungutan suara itu tidak akan menamatkan krisis politik di Mesir, selepas hampir dua tahun protes anti kerajaan yang menyaksikan Presiden Hosni Mubarak digulingkan.
Dalam pada itu, kawalan keselamatan di kediaman Presiden dipertingkatkan selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan rakyat Mesir bersetuju dengan perlembagaan baru itu.
Namun tiada tunjuk perasaan atau kejadian tidak diingini berlaku pada Ahad.