Pembangkang Thailand kelar lengan semasa sesi khas Parlimen

Bernama
Oktober 27, 2020 05:29 MYT
Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan berkumpul di Bangkok dan bandar-bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik. - Gambar fail AP
BANGKOK: Seorang ahli Parlimen pembangkang Thailand mengelar lengannya tiga kali dengan pisau kecil dalam rayuan emosionalnya, meminta kerajaan agar menyelesaikan situasi politik di negara itu, semasa sesi khas Parlimen di sini semalam.
Visarn Techatheerawat adalah Ahli Parlimen Chiang Rai dari Parti Pheu Thai, mengelar lengannya pada akhir sesi perbahasannya untuk memberi penjelasan mengenai ketegangan politik semasa kerajaan itu selepas ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berarak di jalanan dalam beberapa minggu kebelakangan ini menuntut perubahan politik dilakukan termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.
Sebelum mengelar lengannya, Visarn yang merupakan Ahli Parlimen sejak 1986 berkata 'kita harus melakukan sesuatu hari ini'.
"Saya hormat Parlimen. Saya tidak berani melakukan sesuatu yang bertentangan tetapi saya tidak dapat memikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah tanpa darah.
"Permintaan saya mungkin bertentangan dengan peraturan Dewan, tetapi saya harus meminta kebenaran agar darah saya diambil untuk menunjukkan kepada Prayuth niat saya," katanya sebelum mengeluarkan pisau kecil dari begnya.
Permintaan itu terus dihalang oleh Speaker Dewan Chuan Leekpai dengan berkata, "Saya enggan memberi kebenaran" tetapi Visarn tidak mengendahkannya, sebaliknya terus mengelar lengannya sebanyak tiga kali.
Sesi khas Parlimen itu bersambung semula selepas beliau dikejarkan ke Hospital Vajira dan lukanya dijahit.
Ketika ditemui media di Parlimen selepas mendapat rawatan di hospital, Visarn meminta maaf atas tindakan itu.
"Saya merancang untuk mengelar diri saya sejak 17 Okt lagi, sebagai protes terhadap kerajaan. Saya mahu menyampaikan mesej kepada perdana menteri supaya mendengar gesaan rakyat dan pelajar dalam menyelesaikan masalah itu," katanya.
Parlimen Thailand memulakan sesi khas pada Isnin untuk membincangkan protes yang sedang berlangsung bagi menuntut perubahan politik di negara itu.
Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan berkumpul di Bangkok dan bandar-bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik, termasuk perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.
-- BERNAMA
#Bangkok #Thailand #pembangkang #Parlimen #Penunjuk perasaan #kerajaan #protes #rakyat #menteri #politik #kelar #Chuan Leekpai #Ahli Parlimen Chiang Rai #Visarn Techatheerawat #Parti Pheu Thai #kelar lengan #pisau kecil #Perubahan Politik
;