PARTI pembangkang utama Sri Lanka akan mencalonkan ketuanya, Sajith Premadasa, sebagai presiden negara itu apabila pilihan raya diadakan di Parlimen pada 20 Julai.

Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai Parti Samagi Jana Balawegaya itu kepada agensi berita Reuters pada Selasa.

Pencalonan Premadasa disokong barisan kepimpinan dan akar umbi parti itu.

Menerusi satu kenyataan kepada media tempatan, Premadasa berkata beliau sudah bersiap sedia dengan pelan pemulihan baru bagi membantu Sri Lanka memulihkan ekonomi dengan segera.

Pada Isnin, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengesahkan akan meletak jawatan pada Rabu.

Ia bagi memberi laluan kepada peralihan secara aman beberapa jam selepas pemimpin itu dipaksa keluar dari kediaman rasminya.

Rajapaksa dituduh terbabit dalam salah urus ekonomi sehingga negara itu kehabisan pertukaran asing untuk membiayai import paling penting, menjejaskan 22 juta penduduknya.