Pembangkang Korea Selatan rancang dakwa PM Han Duck Soo

Bernama
Disember 24, 2024 17:24 MYT
Pembangkang mendakwa Han melengahkan pelaksanaan undang-undang yang bertujuan untuk menjelaskan tuduhan rasuah terhadap Presiden Yoon. - AP
SEOUL: Di tengah-tengah pergolakan politik yang berterusan di Korea Selatan, parti pembangkang terbesar negara itu dilaporkan merancang untuk memulakan prosiding pendakwaan terhadap Perdana Menteri Han Duck Soo selepas Presiden negara itu, Yoon Suk Yeol, digantung tugas awal bulan ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pengerusi Parti Demokratik (DP) Pembangkang, Park Chan Dae mengumumkan rancangan itu pada Selasa semasa sesi parlimen, menurut laporan agensi berita Yonhap. Sebaik sahaja DP mengemukakan usul pendakwaan, parlimen kemudiannya perlu mengundi.
Pembangkang mendakwa Han melengahkan pelaksanaan undang-undang yang bertujuan untuk menjelaskan tuduhan rasuah terhadap Presiden Yoon, yang digantung tugas dan isterinya.
Yoon digantung tugas oleh parlimen pada pertengahan Disember. Susulan itu, Han mengambil alih tugas rasmi buat sementara waktu sementara Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan akhir mengenai kedudukan Yoon.
Pendengaran usul itu bermula Jumaat.
Mahkamah Perlembagaan sama ada boleh mengesahkan penggantungan Yoon atau memutuskan ia tidak berperlembagaan. Mahkamah dijadual memulakan pendengaran pada Jumaat.
Pembangkang menuduh Yoon melanggar Perlembagaan apabila beliau secara mengejut mengisytiharkan undang-undang tentera pada awal Disember, namun membatalkannya beberapa jam kemudian selepas mendapat tentangan kuat. Yoon mempertahankan tindakannya dengan menyatakan pengisytiharan itu dibuat untuk melindungi negara.
Beliau turut menyifatkan pihak pembangkang sebagai "kuasa antinegara" yang didakwa akan melumpuhkan operasi kerajaan dan mengganggu perintah perlembagaan negara.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #pembangkang #Han Duck Soo #politik korea selatan #park chan dee
;