Pembangkang Jepun kemuka usul tidak percaya ke atas kerajaan Kishida
Bernama
Disember 13, 2023 17:30 MYT
Disember 13, 2023 17:30 MYT
TOKYO: Parti pembangkang Jepun Constitutional Democratic Party (CDP), mengemukakan usul undi tidak percaya ke atas kerajaan Perdana Menteri Fumio Kishida berikutan skandal sogokan dalam parti yang memerintah Liberal Democratic Party (LDP), lapor Sputnik.
"Isu wang sogokan semakin kronik dalam LDP...," menurut ketua CDP Kenta Izumi dipetik oleh agensi berita Kyodo pada Rabu.
Usul itu akan dibahaskan pada sesi Parlimen dan jika diluluskan, kerajaan perlu meletak jawatan dalam tempoh 10 hari atau perdana menteri perlu mengumumkan pembubaran Parlimen dan menetapkan tarikh pilihan raya.
Bagaimanapun, usul dijangka ditolak memandangkan gabungan pemerintah mempunyai majoriti di Parlimen.
Pada Selasa, Parlimen menolak usul undi tidak percaya terhadap Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno dengan undi majoriti. Bagaimanapun Kishida dijangka melucutkan jawatan beliau dan beberapa menteri Kabinet
Usul itu dikemukakan susulan skandal sogokan yang berterusan di Parlimen Jepun. Lima kumpulan dalam parti pemerintah didakwa menerima wang itu dalam pelbagai acara mengumpul dana.
Untuk mengelak rasuah, undang-undang Jepun menetapkan nama penderma dan jumlah wang yang dikumpul ditulis dalam buku laporan jika melebihi 200,000 yen dalam satu-satu acara.
Parti pemerintah didakwa tidak menggambarkan jumlah sebenar dana yang dikumpul, sama ada dalam pendapatan ahli politik mahupun dalam buku laporannya.
Dakwaan penyembunyian dana itu kini disiasat oleh jabatan khas Pejabat Pendakwaraya Tokyo.
Kishida dijangka merombak Kabinet dan barisan kepimpinan parti pemerintah selepas tamat sidang Parlimen pada 13 Dis.
-- BERNAMA