Pembangkang Israel kritik Netanyahu jadikan pelan damai bahan kempen
Astro Awani
Februari 10, 2020 07:37 MYT
Februari 10, 2020 07:37 MYT
Pemimpin parti pembangkang Israel memuji pelan damai Asia Barat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Namun, pihak itu mendakwa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjadikannya 'aksi' kempen pilihan raya apabila menolak pengambilan segera penempatan di Tebing Barat.
Pemimpin bersama parti Biru dan Putih, Yair Lapid menegaskan beliau menentang langkah unilateral yang membahayakan rancangan Trump tersebut.
"Tidak ada sesiapa yang mengharapkan Israel atau rakyat Palestin akan menerima rancangan itu begitu sahaja dan pastikan ia berlaku.
"Semua orang faham yang ini hanya satu rangka kerja, yang sangat terperinci," katanya di sini pada Isnin.
Lapid disebut-sebut bakal menjadi Menteri Luar Israel sekiranya partinya menang pilihan raya 2 Mac ini dan sekutunya Benny Gantz memenangi kerusi perdana menteri.
Lapid berharap rakyat Palestin akan datang untuk melihat penambahbaikan pelan damai yang dipersetujui Trump tersebut.
Pelan damai itu secara meluas dilihat menguntungkan Israel kerana membolehkannya untuk menduduki semua penempatan Tebing Barat dan Lembah Jordan.
Palestin secara tegas menolak rancangan itu kerana ia hanya menyediakan mereka dengan autonomi terhad di beberapa bahagian wilayah di pinggir Baitulmaqdis.
Netanyahu dilihat cuba mempromosikan pelan damai itu dan hubungan rapatnya dengan Trump untuk memenangi pilihan raya ketiga yang akan diadakan dalam masa kurang setahun.
Lapid sedang berusaha menyingkirkan Netanyahu daripada kerusi Perdana Menteri sambil menyatakan visinya berbeza dengan pemimpin itu.
#Amerika Syarikat
#Asia Barat
#Baitulmaqdis
#Benjamin Netanyahu
#Donald Trump
#Israel
#parti Biru dan Putih
#pelan damai
#pembangkang
#penempatan
#pilihan raya
#Tebing Barat