Pembaca berita diserang strok ketika bersiaran
Agensi
September 6, 2022 16:52 MYT
September 6, 2022 16:52 MYT
OKLAHAMA: Seorang pembaca berita dilaporkan berdepan detik cemas apabila diserang strok ringan ketika sedang bersiaran di televisyen.
Sebaik menyedari keadaannya itu, Julie Chin yang bekerja di stesen televisyen KJRH di Tulsa, Oklahoma segera dikejarkan ke hospital berhampiran pada Sabtu lalu selepas cubaan membaca berita di telepanduan tidak berjaya.
Memetik laporan portal Sky News, Chin memberitahu, dia bukan sahaja tidak mampu bertutur, bahkan penglihatan sebelah matanya mula kabur selain tangan dan lengannya mula terasa kebas.
“Jika anda menonton ketika itu, anda pasti tahu bagaimana sukarnya saya nak bercakap. Saya mula sedar berada dalam masalah besar bila tiada perkataan dapat dilontarkan dari mulut,” katanya.
Chin yang kini sedang dalam proses menerima rawatan memberitahu, dia bersyukur kerana kejadian itu disedari rakan sekerjanya yang pantas menghubungi ambulans.
Doktor yang merawat Chin memberitahu personaliti televisyen itu dipercayai mengalami serangan strok ringan dan bukan strok seluruh badan.
Sementara itu, Chin menyeru orang ramai untuk mengambil tahu mengenai simptom awal serangan strok untuk panduan bersama.